Cari @ Amanz

Samsung telah diperkatakan bakal hadir dengan pembantu maya pintar mereka tersendiri sejak pengambil-alihan Viv sebelum ini. Hari ini, Samsung mengesahkan perkara berkenaan secara rasminya, dan telah memperkenalkan Bixby.

Samsung mengatakan Bixby merupakan antaramuka pintar, dan merupakan salah satu kaedah baru untuk berinteraksi dengan peranti.

Lebih kurang seperti Google Assistant dan Siri, Bixby akan dapat mempelajari kaedah penggunaan peranti oleh seseorang pengguna – dan seterusnya mengoptimasikan penawaran melalui penggunaan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin.

Apa pun, Bixby dikatakan lebih pintar berbanding pesaing lain. Pembangun aplikasi boleh menyertakan sokongan Bixby pada aplikasi mereka – sekaligus membolehkan pelbagai tugasan pada aplikasi berkenaan dikawal mudah sepenuhnya melalui Bixby.

Disamping itu, Bixby dikatakan memahami konteks – dan akan memahami apa yang diperlukan oleh pengguna pada sesuatu masa. Dan pengguna juga tidak memerlukan sebarang kata kunci khusus untuk mengaktifkan atau mengakses sejumlah maklumat dan informasi melalui Bixby ini.

Bersama-sama pengumuman ini, Samsung turut mengesahkan Bixby akan hadir terbina pada Galaxy S8 – selain mana mereka akan menyertakan sebuah butang khusus untuk memudahkan akses kepada Bixby ini.

Samsung turut mengatakan Bixby akan diintegrasikan pada pelbagai peralatan elektronik mereka akan datang selepas telefon pintar mereka.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd