Apple Hadir Dengan Aplikasi Clips Untuk Generasi YouTube, Instagram, Snapchat

Apple Hadir Dengan Aplikasi Clips Untuk Generasi YouTube, Instagram, Snapchat

Diterbitkan pada Mac 21, 2017 oleh .

Perkongsian video semakin popular akhir-akhir ini, dan menyedarinya, kini Apple mengumumkan sebuah aplikasi khusus yang dibangunkan oleh mereka tersendiri, dinamakan sebagai Clips. Melaluinya, ia memfokuskan kepada kemudahan pengguna membuat penyuntingan video seperti mengabungkan klip video, gambar dan muzik – selain menyertakan teks dan sebagainya sebelum dikongsikan.

Seperti ramai sedia maklum, pada masa kini, pelbagai platform sosial mengintegrasikan sokongan “Stories” – termasuk di Instagram, Facebook dan Snapchat, dan dinamakan Status pada WhatsApp. Apple Clips ini dilihat ingin memudahkan penyuntingan video untuk tujuan berkenaan – sekaligus membolehkan anda berkongsi video yang direka dengan cantik.

Apple Clips

Apple sendiri sedia mempunyai kelebihan dalam perisian penyuntingan video termasuk melalui iMovie, dan Final Cut Pro. Malah, selain Apple, terdapat juga pengeluar lain seperti GoPro yang menawarkan aplikasi khusus untuk tujuan lebih kurang sama – iaitu kemudahan membuat penyuntingan pada peranti mudah-alih.

Melengkapkan Clips ini juga adalah sokongan pembelajaran mesin. Ia boleh mengenal-pasti rakan-rakan yang muncul pada video anda dan tag mereka, selain pada masa yang sama boleh transkrip perkataan yang disebutkan anda dalam bentuk masa-nyata.

Apple akan melancarkan aplikasi ini secara rasminya pada bulan April ini untuk telefon pintar iPhone 5s dan terkini. Kita mungkin akan dapat lebih memahami penggunaannya selepas ia dilancarkan kelak – dan ia mungkin digemari mereka yang aktif berkongsi video pada Instagram Stories, Facebook Stories, dan sebagainya.


TIPS & ULASAN