Cari @ Amanz

Spotify merupakan salah satu perkhidmatan penstriman muzik popular – mendahului pelbagai pesaing lain, termasuk Apple Music. Terkini, pihak Spotify Malaysia berkongsi beberapa statistik menarik mengenai penggunaan Spotify dikalangan pengguna Malaysia.

Menurut Spotify, satu daripada 4 pengguna dengan akses internet di Malaysia kini menstrim Spotify. Ini sekaligus membuatkan angka pengguna Spotify di Malaysia agak tinggi – apatah lagi dengan pelbagai promosi syarikat telekomunikasi untuk data penstriman, selain kad prabayar Spotify sendiri yang dijual di kedai.

Spotify 7E

Secara purata, selama 148 minit sehari digunakan oleh pengguna tempatan untuk menstrim Spotify, dan selama 12 bulan lepas, pengguna Malaysia telah menstrim muzik selama 7.5 bilion minit melalui Spotify.

Spotify turut mengatakan pengguna Malaysia paling kerap menstrim perkhidmatan berkenaan antara pukul 4 petang hingga 5 petang, dan genre yang popular dikalangan pengguna tempatan adalah Pop, Hip Hop dan EDM/Dance.

Dengan lebih 2.9 bilion lagu yang telah distrim pengguna tempatan selama 12 bulan lepas, kita mungkin akan melihat perkhidmatan penstriman muzik ini terus berkembang pesat di Malaysia.

Bagi anda, adakah anda merupakan pengguna Spotify? Apakah ciri khusus yang anda ingin lihat pada perkhidmatan berkenaan?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd