Carian
Twitter Bakal Melancarkan Perkhidmatan Tweetdeck Berbayar
March 24, 2017 Effi Saharudin

Sekiranya anda pengguna tegar Twitter, aplikasi Tweetdeck versi desktop adalah amat diperlukan. Ia memudahkan proses melihat susur masa, membalas tweet dan menghantar tweet pada waktu yang tertentu. Kerana kepopularannya, Tweetdeck diambil alih oleh Twitter pada tahun 2011. Twitter kini nampaknya akan menggunakan Tweetdeck sebagai platform berbayar dalam masa terdekat.

Menurut laporan The Verge, Twitter menawarkan ujian Tweetdeck berbayar kepada beberapa pengguna terpilih. Aplikasi Tweetdeck berbayar khas ini mensasarkan pengguna tegar, profesional dan mereka yang terlibat dalam pemasaran serta pengiklanan. Terdapat beberapa fungsi yang memudahkan mereka menganalisa prestasi tweet yang dihantar untuk melihat sama ada ia mencapai KPI untuk pengiklanan. Tidak diketahui bilakah perkhidmatan ini akan dimulakan serta bayaran untuk menggunakannya.

Kepada pengguna Tweetdeck sedia ada mereka tidak perlu panik. Aplikasi Tweetdeck sedia ada akan dikekalkan cuma tiada fungsi tambahan yang disenaraikan di atas.

Komen