Soundcloud, salah satu perkhidmatan popular tetapi mempunyai masalah kewangan, kini dikatakan telah menerima pinjaman sebanyak $70 juta untuk meneruskan operasi dan pembesaran syarikat berkenaan.
SoundCloud, pada awal tahun ini telah mengatakan mereka mungkin kehabisan dana sekiranya tidak dapat menarik pelanggan berbayar, dan dikatakan telah menerima suntikan kredit daripada Ares Capital Corp, Kreois Capital dan Davidson Technology. Dalam kenyataan yang dikeluarkan syarikat berkenaan, mereka mengatakan ia akan digunakan untuk membangunkan teknologi dan mengambil pekerja, sambil membangunkan platform yang boleh menjana wang.
SoundCloud memilih untuk mengambil hutang selepas syarikat berkenaan mencuba beberapa kaedah lain untuk mendapatkan dana, termasuk cuba untuk mendapat pelaburan atau menjual syarikat berkenaan. Perbincangan untuk menjual kepada Spotify pada tahun lepas dikatakan gagal mencapai kata putis.
Dengan lebih 175 juta pengguna berdaftar, SoundCloud merupakan salah satu platform muzik popular, dan diminati ramai dalam berkongsi lagu-lagu ciptaan sendiri, podcast dan sebagainya. Walaubagaimanapun, syarikat berkenaan menghadapi masalah dalam menjadikannya sebuah perniagaan berjaya. Pada tahun lepas, mereka telah memperkenalkan perkhidmatan langganan berbayar untuk saingi Spotify dan Apple, tetapi gagal mendapat tarikan.