ASUS Memperkenalkan Komputer Desktop STRIX GD30 Khusus Untuk Gaming

ASUS Memperkenalkan Komputer Desktop STRIX GD30 Khusus Untuk Gaming

Diterbitkan pada Mac 25, 2017 oleh .

Jika anda seorang yang malas mahu membina sistem komputer sendiri untuk bermain permainan video, mungkin anda mahu mempertimbangkan membeli sebuah PC yang sudah siap dibina untuk kegunaan seharian.

Terkini, ASUS Republic of Gamers baru sahaja memperkenalkan komputer khas untuk gaming mereka yang diberikan nama ASUS STRIX GD30. Komputer tersebut dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Generasi ketujuh Kaby Lake, dan pengguna diberikan pilihan untuk menggunakan CPU Intel Core i5-7400 dan i7-7700, bersama RAM DDR4 sehingga 64GB.

Dari segi storan pula, ASUS memberi pilihan untuk menggunakan SSD M.2 PCIe 512GB, SSD M.2 SATA 512GB, SSD SATA 512GB ataupun cakera keras 3TB. Untuk kad grafik pula, ASUS memberi pilihan empat kad grafik, termasuklah NVIDIA GTX 1050, 1060, 1070 dan juga 1080.

Papan induk yang digunakan oleh komputer GD30 ini pula menggunakan cipset H270 yang tidak boleh di-overclock, tetapi ia mempunyai sistem warna LED ASUS Aura yang berwarna-warni.

Kerangka komputer GD30 ini pula diberi sentuhan yang menarik, kerana panel hadapannya boleh dikeluarkan dan diubah-bentuk supaya ia sesuai dengan citarasa pengguna. Dalam pada itu, ia juga menggunakan perisian ASUS Aegis III yang boleh memantau prestasi CPU, memori, kad grafik, dan juga mengawal warna-warna LED ASUS Aura semua dari tempat yang sama.

Buat masa ini, ASUS masih belum lagi memberikan sebarang kata putus tentang tarikh pelancaran ataupun harga komputer ASUS STRIX GD30 ini, tapi kami pasti ia akan hadir pada acara teknologi besar seperti Computex tidak lama lagi.


TIPS & ULASAN