Cari @ Amanz

Xiaomi Redmi Note 4
Chipset Qualcomm Snapdragon 625
CPU 8 x Cortex-A53 2.0 GHz
GPU Adreno 506
Memori 3GB/4GB RAM
Storan 32GB/64GB, microSD sehingga 128GB
Kamera Utama 13MP auto-focus, f/2.0, rakaman 1080p
Kamera Hadapan 5MP, f/2.0, rakaman 1080p
Skrin 5.5-inci IPS LCD, 1080×1920 piksel, 401 ppi
Sambungan 4G LTE, WiFi b/g/n, A-GPS, Bluetooth 4.1
Sistem Android 6.0 Marshmallow + MIUI 8
Bateri 4100 mAh, tidak boleh dikeluarkan
Berat & Ketebalan 165g, 8.5mm

Apabila bercakap mengenai Xiaomi, ramai yang mengenali jenama telefon ini atas penawaran spesifikasinya yang tinggi pada harga yang tiada tandingan. Antara keluarga peranti yang banyak menerima perhatian adalah keluarga Redmi Note, melalui kehadiran skrin 5.5-inci yang sudah menjadi saiz standard bagi kebanyakan pengguna. Ia juga membawakan penawaran jangka hayat bateri yang lama, jadi memilih keluarga Redmi Note ini sangat bersesuaian bagi yang gemar menggunakan peranti ini untuk kegunaan multimedia.

Tahun lalu, raja bagi peranti kelas pertengahan yang boleh dimiliki di bawah RM900 telah dipegang oleh Xiaomi Redmi Note 3, atas kehadiran cip pemprosesan dengan prestasi berkelas flagship, Snapdragon 650. Ia juga turut membawakan binaan berasaskan logam pada keluarga Redmi Note, sekaligus meletakkan keluarga peranti ini hampir setanding dengan sejumlah peranti flagship utama apabila dinilai dari segi rekaan. Tidak cukup dengan itu, Redmi Note 3 juga telah membawakan peningkatan kapasiti bateri yang drastik berbanding sebelumnya — daripada 3060 mAh kepada 4050 mAh.

Xiaomi Redmi Note 4 adalah peranti penerus untuk meneruskan kegemilangan keluarga Redmi Note ini, yang kini menawarkan cip pemprosesan yang lebih efisien — dengan rekaan 14nm — melalui cip Snapdragon 625. Ia juga membawa rekaan yang lebih menarik bebanding sebelum ini, kapasiti baterinya telah ditingkatkan, dan pastinya harga penawarannya yang kini lebih berpatutan.

Dengan tawaran RM799, Xiaomi Redmi Note 4 memberikan kedudukan harga yang sangat baik, seperti kehadiran memori 3GB RAM dan storan dalaman 32GB sebagai versi paling asas untuk peranti ini. Dengan penawaran fungsi yang hampir menyerupai seperti Redmi Note sebelum ini, bolehkah Xiaomi Redmi Note 4 untuk terus memberikan penawaran yang berbaloi untuk pengguna?

Rekabentuk

Rekabentuk Xiaomi Redmi Note 4 boleh dikatakan banyak mengambil inspirasi daripada rekaan Redmi Note 3, Mi 4 dan Mi 5. Rekaan hadapannya sekilas pandang mengingatkan saya dengan rekaan Mi 4, tanpa kehadiran sebarang perkataan “Mi” di bahagian atas. Di bahagian bawah ruang hadapan peranti masih menggunakan butang kapasitif dengan fungsi cahaya bagi memudahkan penggunaan ketika waktu gelap. Ia juga menampilkan lampu LED di bahagian atas bagi memudahkan anda mengenalpasti sesuatu notifikasi yang hadir.

Rekabentuk bahagian belakang pula membawakan sedikit sentuhan lengkungan daripada Mi5 namun dengan bahan binaan berasaskan logam. Perletakkan kamera, LED flash dan pengimbas cap jari pula masih mengikuti kedudukan yang terdapat pada Redmi Note 3 yang mana diletakkan secara sebaris. Cuma apa yang membezakannya, kedudukan pembesar suara telah diletakkan di bahagian bawah berbanding Redmi Note 3 yang meletakkannya di bahagian belakang ini.

Di bahagian bawah peranti walaupun terdapat dua lubang pembesar suara, hanya satu lubang sahaja yang benar-benar mengeluarkan bunyi audio. Audio yang dikeluarkan adalah lebih baik daripada Redmi Note 3 melalui kelantangan bunyi yang lebih kuat, cuma kualitinya masih biasa tanpa sebarang penambahan efek bunyi ekstra seperti bass. Di bahagian bawah ini juga menempatkan sambungan Micro USB yang mana masih bersesuaian dengan harga peranti di bawah RM1000.

Xiaomi Redmi Note 4 juga masih mengekalkan fungsi IR blaster di bahagian atas peranti bersama-sama dengan lubang earphone jack 3.5mm. Melalui fungsi IR blaster ini, ia membolehkan pengguna mengawal perkakasan elektrik seperti TV dan penghawa dingin terus melalui telefon ini melalui aplikasi Mi Remote yang didatangkan. Di bahagian sisi peranti pula menempatkan kedudukan butang kuasa, butang pelarasan suara, dan slot sim hibrid yang sama seperti Redmi Note 3 sebelum ini.

Kepantasan pengimbas cap jari pada Redmi Note 4 dilihat masih sama Redmi Note 3, ia tidak terlalu perlahan dan tidak terlalu pantas dengan kadar tindak balas sekitar 0.5s. Seperti sebelumnya, ia juga tidak memerlukan pengguna mengaktifkan skrin terlebih dahulu untuk menyahkunci peranti melalui imbasan cap jari ini. Selain menyahkunci peranti, pengimbas cap jari ini juga membolehkan pengguna mengunci fail, mesej, notes, dan aplikasi peribadi daripada diakses daripada pihak luar.

Dari segi paparan, peranti ini masih menawarkan saiz skrin yang sama seperti Redmi Note 3 iaitu pada saiz 5.5-inci pada resolusi 1080p. Ia juga masih menggunakan teknologi berasaskan IPS LCD yang mana masih bersesuaian dengan harganya yang berpatutan. Kualiti skrin ini masih terang dan masih tajam bagi memaparkan kandungan seperti teks, gambar, dan video untuk kegunaan harian. Bagi mengurangkan kos penghasilan peranti, ia tidak didatangkan dengan kaca Gorilla Glass, namun masih dilindungi dengan kaca 2.5D yang diperkuatkan dari segi ketahanannya.

Xiaomi Redmi Note 4 telah hadir dengan dua versi, iaitu versi asas dengan pilihan storan 32GB + 3GB RAM dan versi high-spec dengan storan 64GB + 4GB RAM. Untuk pasaran Malaysia, pihak Xiaomi telah menjual versi asas pada harga RM799 manakala versi yang lebih tinggi telah disahkan akan menyusul di kemudian hari. Kedua-dua versi ini juga masih menyokong kebolehan dwi-sim melalui rekaan sim hibrid, yang membolehkan anda menggunakan kombinasi SIM 1 (micro-SIM) + SIM 2 (nano-SIM) atau SIM 1 + kad microSD sehingga 128GB.

Sistem

Xiaomi Redmi Note 4 kini tampil dengan MIUI 8 yang dibina berasaskan Android 6.0 Marshmallow, iaitu antaramuka yang sama digunakan pada flagship Xiaomi seperti Mi Note 2 dan Mi Mix. Ia masih memberikan antaramuka ceria seperti MIUI 7, namun kini menampilkan elemen antaramuka yang lebih kemas dan lebih moden terutama dari segi rekabentuk notification drawer.

Tampilan homescreen MIUI 8 ini juga masih mengekalkan antaramuka tanpa app drawer, namun ada baiknya jika ia diberi pilihan untuk mengaktifkan fungsi app drawer ini seperti yang terdapat pada antaramuka EMUI 5 pada peranti terkini daripada Huawei. Pada antaramuka tersebut, Huawei memberikan pengguna sama ada untuk meletakkan kesemua aplikasi pada homescreen atau mendatangkan fungsi app drawer untuk menjadikan tampilan yang lebih kemas.

MIUI 8 turut menawarkan fungsi tema dengan kebolehan memuat-turun tema luaran sekiranya anda tidak menyukai tema yang didatangkan secara terbina. Beberapa fungsi lain turut hadir seperti One-handed mode, Lite mode, dan sokongan gesture untuk mengambil screenshot. Ia juga masih membawakan aplikasi Security yang menjadi pusat sehenti bagi menguruskan storan, penggunaan memori, dan aplikasi yang sedang berjalan pada peranti anda.

Ia juga hadir dengan fungsi Dual Apps yang membolehkan anda membuat log masuk dua akaun berbeza (melalui salinan sesuatu aplikasi) pada aplikasi yang terhad pada satu akaun sahaja seperti WhatsApp. Satu fungsi yang bagi saya paling menarik adalah fungsi Second Space yang membolehkan anda mengasingkan kegunaan peribadi dan kegunaan kerja secara berasingan.

Xiaomi dilihat tidak begitu membebankan peranti ini dengan kehadiran bloatware yang begitu banyak. Hanya empat sahaja aplikasi yang tidak diundang hadir pada peranti ini seperti aplikasi Facebook, WPS Office, Wego Flight, dan SwiftKey Keyboard. Kesemua aplikasi ini walau bagaimanapun boleh dibuang sekiranya anda tidak ingin terus menyimpan dan menggunakannya.

Prestasi

Ramai yang mengkritik Xiaomi kerana Redmi Note 4 hadir dengan cip pemprosesan yang lebih perlahan (dari segi prestasi), melalui cip Snapdragon 625 berbanding Snapdragon 650 yang hadir pada Redmi Note 3. Tetapi dari segi teknikalnya, cip Snapdragon 625 hadir dengan rekaan yang lebih baik berbanding Snapdragon 650 — menerusi rekaan 14nm berbanding 28nm — sekaligus memberikan penggunaan tenaga yang lebih efisien.

Jika diuji pada ujian benchmark seperti AnTuTu, cip Snapdragon 625 ini sememangnya tewas kepada Snapdragon 650 — melalui mata sekitar 62,470 berbanding 74,443. Tetapi jika dibandingkan cip pemprosesan ini dengan peranti terkini, ia menawarkan prestasi yang setara dengan Galaxy A5 (2017) melalui penggunaan cip lapan-teras Exynos 7880. Untuk penggunaan di dunia sebenar, prestasi dengan bacaan AnTuTu melebihi 60,000 sudah dikira amat baik untuk memberikan prestasi harian yang amat pantas, yana mana jauh meninggalkan prestasi cip berkelas flagship terdahulu seperti Snapdragon 801/808.

Cip pemprosesan Snapdragon 625 ini juga telah digunakan pada kebanyakan peranti, seperti ASUS Zenfone 3, Moto Z Play, dan terkini, BlackBerry KEYone yang bakal hadir pada pertengahan tahun ini. Melalui pengalaman menggunakan Oppo R9s yang juga menggunakan cip pemprosesan yang sama, ia tidak memberikan sebarang isu prestasi untuk penggunaan harian seperti masalah lag dan hiccup ketika membuka dan membuat penukaran aplikasi. Pada Redmi Note 4, melancarkan aplikasi saya boleh kata ia masih sepantas Redmi Note 3, malah ada satu tahap, Redmi Note 4 ini lebih tangkas untuk membuka aplikasi terlebih dahulu.

Walaupun hadir dengan pemproses grafik Adreno 506 berbanding Adreno 510, beberapa permainan kegemaran saya seperti Asphalt 8, Dream League Soccer 2017, Modern Combat 5 masih boleh dimainkan dengan lancar, cuma kadar frame rate yang lebih tinggi nampaknya lebih memihak kepada Snapdragon 650. Dengan penggunaan memori permulaan 3GB RAM, peranti ini juga mampu menggalas aktiviti di belakang tabir dengan begitu cekap, dalam mengurangkan sesuatu aplikasi atau tab pada Chrome daripada membuat reload ketika diakses semula.

Kamera

Dari segi keupayaan kamera, Redmi Note 4 telah didatangkan dengan kamera 13MP f/2.0 berbanding 16MP f/2.0 yang hadir pada Redmi Note 3. Andaian awal mungkin anda mengatakan kamera Redmi Note 3 adalah lebih baik, tetapi apabila dilihat prestasi di dunia sebenar, Redmi Note 4 lebih mengungguli di dalam aspek ini. Hasilan warna pada imej kini lebih terang, berbanding sebelumnya yang sering terdedah dengan hasilan warna yang agak pudar.

Kawalan warnanya kini lebih memihak kepada warm, yang memberikan perwarnaan kulit manusia dan objek berwarna kuning, untuk ke arah merah-oren. Perwarnaan ini dikawal dengan begitu baik untuk kebanyakan situasi, walaupun kadangkala warnanya akan membawa kepada perwarnaan yang sedikit saturated. Kawalan pencahayaan sekelilingnya juga dilihat lebih baik berbanding Redmi Note 3, yang mana kini mampu memberi keseimbangan cahaya yang lebih pantas dan seimbang.

Saya juga dapati Redmi Note 4 lebih memberikan hasil low-light yang lebih baik dengan pengurangan noise yang amat ketara. Penggambaran pada lokasi yang kurang cahaya sering memberikan hasil yang memuaskan, terutama dari segi penyerapan cahaya dan keperincian imejnya. Ia masih tidak setajam peranti kelas pertengahan dengan harga ribuan ringgit seperti Galaxy J7 Prime, tetapi hasilnya membuatkan saya gembira melihat kamera keluarga Redmi Note ini telah dipertingkatkan dari segi keupayaan low-light.

Pada aplikasi kamera, Xiaomi Redmi Note 4 membawakan antaramuka dan fungsi yang sama seperti Redmi Note 3, tanpa sebarang penambahan fungsi ekstra. Ia masih menawarkan beberapa fungsi menarik seperti Tilt-shift, Beautify, Panorama, dan fungsi Hand Held Twilight (HHT) untuk membantu anda mengambil gambar ketika waktu malam. Ia juga turut menawarkan fungsi Screen, yang membolehkan anda memilih “preset” seperti Landscape, Sports, Fireworks, dan Sunset untuk memudahkan kamera menganalisa tetapan terbaik untuk sesuatu situasi.

Keupayaan manual turut hadir namun ia hanya memberikan tetapan asas seperti mengawal White Balance dan ISO sehingga 3200. Tiada tetapan shutter speed yang diberikan seperti mana yang hadir pada peranti Honor 5C. Namun Xiaomi masih memberikan kebolehan untuk menetapkan kekuatan Contrast, Saturation, dan Sharpness pada tetapan kamera untuk dipadankan pada keperluan fotografi anda.

Seperti Redmi Note 3, Redmi Note 4 juga tidak membawakan sokongan rakaman 4K walaupun cip pemprosesan Snapdragon 625 mampu menyokong rakaman ini. Ia masih terhad kepada rakaman 1080p@30fps yang dilihat masih bersesuaian pada hari ini, cuma kualitinya agak kurang memuaskan.

Hasilan videonya sering memberikan hasil yang soft dan kawalan cahaya juga kadangkala tidak seimbang dan konsisten. Perkara ini telah menyebabkan video kadangkala cenderung untuk menjadi lebih gelap sekaligus memberikan hasilan warna yang lebih ke arah pudar. Beberapa fungsi lain turut hadir seperti fungsi Time-lapse dan Slow-motion bagi melengkapkan lagi fungsi rakaman video pada peranti ini.

Bateri

Melalui penggunaan cip Snapdragon 625 yang lebih efisien, ia juga membantu dalam meningkatkan masa penggunan peranti yang lebih lama. Namun kapasitinya tidak banyak ditambah, dengan jurang perbezaan hanya sebanyak 50 mAh, rekaan cip pemprosesan 14nm nampaknya lebih proaktif dalam mengurangkan penggunaan tenaga bateri pada peranti ini.

Hasilnya sememangnya menunjukkan sedikit peningkatan, dengan membawakan bacaan Screen-on-Time (SoT) sekitar 9 jam 17 minit untuk penggunaan melebihi 24 jam. Ia sedikit meninggalkan Redmi Note 3 yang mana mampu mencapai SoT sekitar 8 jam 23 minit dengan masa penggunaan yang serupa. Bacaan ini jauh meninggalkan ketahanan bateri sejumlah besar peranti di pasaran yang selalunya mampu mencapai sekitar 5-6 jam SoT.

Masa pengecasannya walau bagaimanapun memerlukan masa yang sedikit lama untuk mengecas penuh peranti ini, iaitu mengambil masa sekitar 2 jam 30 minit, walaupun menggunakan pengecas Quick Charge 3.0. Seperti Redmi Note 3, ia masih menggunakan teknik pengecasan 5V/2A dan tidak menggunakan teknologi pengecasan pantas yang standard walaupun cip pemprosesan kedua-dua peranti ini menyokong teknologi Quick Charge 2.0/3.0. Perkara ini mungkin disebabkan pengurangan harga peranti yang agresif, yang membawa Xiaomi untuk tidak meletakkan sokongan Quick Charge 3.0 pada peranti ini atas faktor perlesenan teknologi.

Rumusan

Xiaomi Redmi Note 4 masih menawarkan sebuah pembelian peranti yang berbaloi atas penawaran spesifikasi yang sangat berpatutan dengan harganya. Malah ada beberapa perkara, Redmi Note 4 telah menunjukkan peningkatan yang lebih baik terutama dari segi keupayaan kamera yang kini lebih mesra low-light dan masa bertahan bateri yang lebih lama. Ia juga masih mengekalkan beberapa keistimewaan pada Redmi Note 3 seperti binaan berasaskan logam, kehadiran skrin 5.5-inci, pengimbas cap jari, dan fungsi IR blaster secara terbina.

Bagi pemilik Redmi Note 3, sekiranya anda lebih mengutamakan aspek kamera, menaiktaraf Redmi Note 4 mungkin boleh dipertimbangkan untuk anda. Tetapi sekiranya anda lebih mengutamakan prestasi permainan, adalah lebih baik untuk anda terus menggunakan peranti tersebut bagi mengekalkan prestasi permainan dengan bacaan “frame rate” yang lebih tinggi. Aspek lain dilihat tidak banyak beza — hanya terdapat perubahan kecil seperti rekaan, kedudukan pembesar suara, sokongan double tap to wake, dan masa ketahanan bateri lebih baik — bagi menyempurnakan lagi pengalaman penggunaan untuk siri Xiaomi Redmi Note.

Pro
  • Kamera membawakan prestasi low-light yang lebih baik.
  • Snapdragon 625 masih lancar untuk permainan dan penggunaan harian.
  • Rekaan lebih menarik dan selesa untuk dipegang.
  • Pengimbas cap jari mampu menyahkunci peranti dengan pantas.
  • Menawarkan ketahanan bateri yang lebih lama.
  • MIUI 8 kini didatangkan dengan Android 6.0 Marhsmallow.
  • Masih mengekalkan fungsi IR blaster.
Kontra
  • Keupayaan kamera masih tidak memberikan keperincian imej yang tajam.
  • Mengecas peranti sehingga penuh masih memerlukan masa yang sedikit lama.
  • Tidak hadir dengan slot sim & microSD secara berasingan.

Untuk kekurangan, ketiadaan NFC, OIS, dan sokongan rakaman 4K mungkin tidak wajar untuk diletakkan pada peranti ini kerana harga peranti sekitarnya juga tidak banyak menawarkan kesemua fungsi tersebut. Tetapi sekiranya saya perlu meletakkan juga kekurangan peranti ini, hasil kualiti gambarnya masih kelihatan soft dan tidak tajam sekiranya anda mengutamakan keupayaan kamera. Masa pengecasannya juga agak sedikit lama (atas ketiadaan sokongan pengecasan pantas standard) yang mana memerlukan masa sekitar 2 jam 30 minit+ melalui pengecas 5V/2A. Akhir sekali adalah sokongan sim hibrid yang mungkin menyukarkan pengguna memanfaatkan kedua-dua kad sim secara serentak.

Bagi pengguna yang sedang mencari telefon pintar baru, Xiaomi Redmi Note 4 amat disyorkan untuk anda atas keseimbangan fungsinya — melalui rekaan yang lebih menarik, pengekalan skrin 5.5-inci, cip pemprosesan yang pantas, kamera yang terang untuk harian, bersama ketahanan bateri dengan bacaan Screen-on-Time (SoT) yang cukup tinggi. Dengan tawaran harga RM799, Xiaomi Redmi Note 4 adalah salah satu peranti kelas pertengahan yang paling berbaloi dimiliki di bawah RM800 untuk tahun ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd