Cari @ Amanz

Andy Rubin merupakan pengasas kepada sistem operasi Android yang telah diambil-alih oleh Google dan kini digunakan pada ratusan juta peranti seluruh dunia. Selepas bekerja di Google selama beberapa tahun mengetuai bahagian Android, beliau sebelum ini telah meninggalkan syarikat gergasi berkenaan dan membangunkan telefon pintar tersendiri.

Pada awal Januari tahun ini, kita telah sedia mendengar mengenai perancangan beliau untuk memperkenalkan telefon pintar tanpa bezel dibawah syarikat baru dinamakan Essential. Peranti berkenaan juga dijangka akan memfokuskan kepada sokongan kecerdasan buatan – salah satu arena yang menjadi fokus ramai pengeluar akhir-akhir ini.

Lanjutan daripadanya, tidak banyak perkara yang dikongsikan sehinggalah hari ini, dimana Andy Rubin berkongsi gambar memperlihatkan secara kasar peranti yang sedang dibangunkan beliau.

Daripada apa yang dilihat, ia menawarkan rekaan bingkai tepi yang sangat nipis – seperti pada Mi Mix sebelum ini. Sistem operasi yang digunakan juga kelihatan seumpama Android – walaupun perkara berkenaan masih belum disahkan buat masa ini.

Seperti biasa, pelbagai perkara masih menjadi tanda tanya buat masa ini, dan mungkin akan terjawab dalam masa beberapa bulan akan datang ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd