Cari @ Amanz

Sony Xperia XZs merupakan salah satu daripada empat peranti pintar yang diperkenalkan oleh syarikat elektronik Jepun tersebut pada acara Mobile World Congress beberapa minggu yang lalu. Walaupun peranti Xperia XZ Premium mendapat penganugerahan peranti terbaik di acara tersebut, Sony Xperia XZs dan XA1 nampaknya akan hadir terlebih dahulu di Malaysia. Dengan kehadiran peranti Xperia XZs, kita dapat sedikit sebanyak menguji teknologi kamera Motion Eye Sony yang terbaru.

Spesifikasi

Sony Xperia XZs
Skrin 5.2″ IPS LCD 1080×1920 pixel
Pemproses Qualcomm Snapdragon 820
Cip Grafik Adreno 530
RAM 4 Gigabyte
Muatan Dalaman 64 Gigabyte (MikroSD sehingga 256 GB)
Kamera Utama  19 Megapixel, OIS, f/2.0
Kamera Depan 13 Megapixel f/2.0
Bateri 2900 mAh (Tidak boleh tanggal)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Bicu Audio Ya
Harga RM 2899

Peranti Xperia XZs ini mempunyai paparan skrin IPS LCD bersaiz 5.2 inci dengan resolusi Full HD (1920×1080 pixel). Sony hanya menggunakan gelas kaca untuk muka hadapan peranti ini tidak seperti pesaing yang menggunakannya pada panel belakang. Keseluruhan kerangka peranti dihasilkan menggunakan logam.

Dari segi dalaman pula, Xperia XZs ini diperkasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 820, dan hadir dengan memori sebanyak 4GB dan storan sebesar 64GB, yang boleh ditambah lagi sehingga 256GB menggunakan kad MikroSD. Peranti ini juga mempunyai sokongan talam dwi-SIM hibrid yang berkongsi dengan slot kad MikroSD.

Bateri juga merupakan salah satu ciri yang penting dalam sesebuah peranti premium dan Xperia XZs ini dilengkapi bateri sebesar 2900mAh, Ia bukanlah saiz yang besar berbanding peranti pesaing, Teknologi pengecasan pantas Qualcomm QuickCharge 3.0 disokong bersama Qnovo Battery Care yang dapat memanjangkan hayat bateri.

Selain daripada itu, peranti XZs ini juga akan menggunakan port USB -C, akan tetapi ia hanyalah menggunakan teknologi USB 2.0, dan bukan USB 3.1 yang terbaru.

Jika anda seorang peminat peranti Sony, anda pasti akan menyedari bahawa kebanyakan ciri-ciri yang hadir pada peranti Xperia XZs ini sama sahaja seperti Sony Xperia XZ. Kedua-duanya juga mempunyai saiz paparan skrin, resolusi yang dan cip pemprosesan yang sama. Sekilas pandang sukar mencari perbezaan diantara Xperia XZ dan XZs. Malah jika anda tidak membelek peranti-peranti ini dengan teliti, anda mungkin tidak akan sedar mereka adalah dua peranti yang berbeza.

Perbezaan yang paling utama dan ketara diantara kedua-dua peranti ini ialah dari segi sistem kameranya. Sony Xperia XZ mempunyai kamera pandang belakang 23MP, manakala Xperia XZs pula menggunakan sistem kamera Motion Eye bersaiz 19MP yang juga diumumkan oleh Sony di Mobile World Congress.

Walaupun teknologi kamera Motion Eye ini diumumkan bersama-sama dengan peranti Xperia XZ Premium. peranti Xperia XZs ini merupakan peranti pertama yang akan menggunakan kamera ini. Sistem kamera ini dilengkapi beberapa ciri kamera yang agak menarik seperti Predictive Capture dan juga pengambilan video Super Slow Motion yang membenarkan anda merakam video pada kadar 960FPS.

Ciri Predictive Capture sangat sesuai bagi mereka yang gemar mengambil gambar aksi-aksi yang mudah terlepas daripada pandangan mata biasa. Menggunakan teknologi Motion Eye, kamera Sony Xperia XZ boleh meramal pergerakan subjek yang sedang bergerak, dan akan kemudiannya mengambil beberapa gambar yang boleh anda pilih untuk disimpan di dalam peranti anda. Daripada ujian awal kami, nampaknya ciri Predictive Capture ini hanya hadir pada mod Superior Auto, dan tidak pada mod Manual.

Super Slow Motion pula membolehkan anda merakam video gerak perlahan 960FPS pada resolusi 720p, dan ini merupakan killer feature buat peranti XZs buat masa ini. Ciri video gerak perlahan bukanlah sesuatu yang baru, tetapi untuk sebuah peranti pintar mengambil video 960FPS pada resolusi setinggi 720p bukanlah sesuatu yang peranti-peranti lain mampu lakukan buat masa ini.

Rekabentuk

Seperti yang kami nyatakan sebelum ini, rekabentuk peranti Sony Xperia XZs ini adalah sama sahaja seperti peranti pendahulunya, Sony Xperia XZ. Rangka peranti ini 90 peratus besi, dan hanya muka hadapannya sahaja menggunakan skrin Gorilla Glass yang tahan lasak.

Jika anda pernah menggunakan peranti Xperia XZ sebelum ini, lokasi butang-butang seperti butang kuasa, pembesar suara dan kamera semuanya berada di lokasi yang sama. Malah, ciri-ciri seperti akses pantas ke kamera dari posisi Standby dengan menekan butang kamera dua kali juga masih sama seperti dahulu.

Dua cara anda boleh membezakan peranti Xperia XZs daripada peranti XZ ini ialah dengan melihat pada port USB, ataupun pada modul kamera di kedua-dua peranti ini. Xperia XZ menggunakan port mikro-USB, manakala Xperia XZs menggunakan port USB Type-C. Dari segi kamera pula, kamera pada Xperia XZ terus mengikut rangka belakang, manakala kamera pada Xperia XZs terbonjol sedikit keluar.

Sama seperti peranti Xperia XZ juga, Xperia XZs mempunyai dua pembesar suara stereo menghala ke hadapan, dan apabila dipadankan dengan teknologi paparan Triluminos Sony, ini pasti akan menarik minat mereka yang sering menonton media video di peranti mereka.

Bagi mereka yang gemar melakukan aktiviti luar yang lasak dan ingin merakam detik-detik yang menarik menggunakan kamera Motion Eye Sony Xperia XZs, peranti ini memenuhi piawaian kalis air serta debu IP68.

Antaramuka

Antaramuka merupakan satu lagi ciri  Xperia XZs  yang mempunyai persamaan dengan Xperia XZ. Tiada perubahan rekabentuk elemen antaramuka dilakukan oleh Sony. Dari segi rupa kami amat menyukai antaramuka Xperia kerana ia antara yang paling kemas jika dibandingkan dengan beberapa jenama peranti pintar yang lain.

Sony yang dahulunya terkenal dengan aplikasi gendut  kini mempunyai antaramuka yang pantas seakan stock tetapi dengan pelbagai kustomasi serta fungsi-fungsi tambahan. Antara fungsi tambahan yang disertakan ialah :

Smart Stamina – Mempelajari cara anda menggunakan peranti XZs sepanjang hari dan dari data yang terkumpul memaklumkan anda bila bateri anda akan semakin cepat berkurangan. Ini mengoptimumkan pengecasan peranti anda supaya anda tidak kehabisan bateri sebelum penghujung hari.

Xperia Actions – Xperia Actions terdiri daripada beberapa ‘Actions‘ yang membantu anda menukar mod secara automatik tanpa perlu menekan begitu banyak butang. Mod-mod ini termasuklah Good Night Actions pada waktu anda mahu tidur, Focus Actions apabila anda sibuk bekerja dan Abroad Actions apabila anda sedang terbang ataupun berada di luar negara.

PlayStation Certified –Peranti ini disahkan menyokong PS4 Remote Play, dan boleh dipadankan dengan konsol PlayStation 4 dan pegawal permainan DualShock 4. PlayStation 4 kini boleh dimaikann dimana-mana sahaja, asalkan kedua-dua peranti ini mempunyai sambungan ke Internet.

Themes – Kurang gemar dengan tema asal Xperia? Melalui Themes tema antaramuka boleh diubah. Antara yang baru ditawarkan ialah tema Mass Effect Andromeda dan filem yang dikeluarkan oleh studio Sony.

Google Assistant – Pembantu maya dengan kecerdasan buatan boleh digunakan terus pada peranti tanpa perlu menunggu kemaskini.

Kesimpulan

Secara jujurnya kami merasakan kemungkinan besar sebab utama Sony melancarkan peranti XZs ini hanyalah untuk menunjukkan kebolehan teknologi kamera Motion Eye sahaja. Jika spesifikasi dilihat di atas kertas, selain dari kamera dan penambahan 1GB RAM, tiada perbezaan ketara di antara Xperia XZs dan Xperia XZ.

Sungguhpun begitu kami di Makmal Amanz akan membuat ulasan penuh peranti ini bagi melihat sama ada Sony Xperia XZs benar-benar berbaloi untuk peranti dengan harga juala RM2899.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd