Intel Memperkenalkan Optane Memory – Cache SSD Untuk Komputer Yang Masih Menggunakan Cakera Keras

Intel Memperkenalkan Optane Memory – Cache SSD Untuk Komputer Yang Masih Menggunakan Cakera Keras

Diterbitkan pada Mac 28, 2017 oleh .

Menurut sebuah laporan penyelidikan oleh IDC, 80 peratus pengguna komputer di seluruh dunia masih lagi menggunakan cakera keras sebagai storan digital utama mereka. Ini termasuklah mereka yang mempunyai komputer yang serba baru dan tidak terhad kepada mereka yang masih menggunakan komputer dari era 90an ataupun awal tahun 2000.

Terkini, Intel baru sahaja memperkenalkan produk terbaru mereka yang berdasarkan teknologi 3D XPoint yang bakal membantu pengguna-pengguna komputer ini mempercepatkan lagi pembukaan perisian-perisian yang dipasang pada cakera keras.

Perkakasan ini dinamakan Intel Optane Memory, dan ia berfungsi sebagai storan cache untuk menyimpan data sementara supaya ia dapat diakses dengan lebih pantas. Ini amat berguna untuk pengguna yang mahu memasang perisian mereka menggunakan cakera keras dan bukan SSD yang masih lagi mempunyai ruang storan yang agak sedikit.

Storan cache Intel Optane Memory ini mempunyai storan sebesar 16GB sdan 32GB. Ia menggunakan soket M.2 PCIe dengan sokongan NVMe untuk memberi pengguna kelajuan penghantaran data yang amat pantas. Menurut Intel, storan cache ini mempunyai kelajuan membaca 1.2GB/s dan kelajuan menulis 280MB/s.

Menurut ujian-ujian yang telah dilakukan oleh PCWorld, mereka mendapati bahawa dengan menggunakan SSD cache Intel Optane Memory ini, masa bermula perisian yang dipasang pada cakera keras berkurangan apabila dipadankan dengan perkakasan tersebut.

Malang sekali jika anda berangan-angan ingin memasang sistem operasi anda pada perkakasan ini, Intel berkata Intel Optane Memory ini hanya boleh digunakan sebagai cache sahaja. Ia hanya akan menyimpan data yang penting untuk memastikan perisian anda dimulakan dengan pantas.

Intel juga telah mengumumkan bahawa mereka akan mula menjual perkakasan Intel Optane Memory ini pada 24 April hadapan dengan harga $44 (~RM194) bagi model 16GB, manakala model 32GB pula akan dijual untuk harga $77 (~RM340).


TIPS & ULASAN