Cari @ Amanz

Monitor khas untuk permainan video bukanlah sesuatu yang baru – pelbagai jenama, termasuklah ASUS, Acer, BenQ, ViewSonic dan lain-lain semuanya telah mengeluarkan monitor untuk tujuan gaming ini, akan tetapi ia selalunya terlalu mahal untuk dibeli oleh golongan yang tidak mempunyai pendapatan yang tinggi.

ASUS baru sahaja mengumumkan monitor gaming terbarunya, ASUS VG245Q, yang menjanjikan ciri-ciri yang diminati ramai golongan gamer, termasuklah masa tindak balas 1ms (GTG) dan kadar segar semula 75FPS.

Monitor VG245Q ini mempunyai paparan bersaiz 24 inci dengan resolusi skrin HD penuh (1920×1080), dan hadir dengan port seperti HDMI 1.4a, DisplayPort 1.2 yang diperlukan untuk menggunakan ciri FreeSync serta VGA.

Ia juga hadir dengan sokongan teknologi GameFast Input yang mengurangkan input lag daripada peranti seperti papan kekunci, tetikus dan juga controller, memastikan bahawa input butang anda selari dengan permainan video anda.

Di samping itu, ciri GamePlus pula memberikan anda sedikit kelebihan dalam permainan video anda, dengan menunjukkan crosshair, FPS counter dan juga penyelarasan paparan bagi mereka yang menggunakan lebih daripada satu monitor.

Ciri GameVisual pula membolehkan pengguna menyelaras warna dan kecerahan monitor tersebut supaya ia sesuai dengan aktiviti yang sedang dilakukan, dan juga jenis permainan video yang anda sedang main dengan mudah.

Buat masa ini, ASUS masih belum mengesahkan jika mereka akan membawa masuk paparan VG245Q ini ke pasaran Malaysia, tetapi jika model-model monitor gaming yang terdahulu boleh menjadi kayu pengukur, kita mungkin akan melihatnya di sini tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd