Cari @ Amanz

Kebelakangan ini, kami ada banyak menunjukkan pelbagai jenis papan induk yang dikeluarkan oleh pengeluar perkakasan komputer. Tetapi bagi pembina PC yang inginkan sesuatu yang benar-benar istimewa, mungkin GIGABYTE menghasilkan komponen yang akan memenuhi kehendak anda.

Papan induk GIGABYTE GA-Z270X-Designare merupakan papan induk premium keluaran syarikat tersebut. Ia bukan sahaja mempunyai sokongan untuk teknologi-teknologi perkomputeran desktop yang terbaru daripada Intel malah juga mempunyai rekabentuk serta ciri-ciri yang sangat menarik untuk mereka yang ingin membina komputer yang unik.

Papan induk ini mempunyai tiga slot PCIe 3.0 x16 yang membolehkannya menyokong penggunaan kad grafik dalam konfigurasi GPU berganda AMD (CrossFireX) dan juga NVIDIA (SLi). Terdapat slot untuk teknologi storan terbaru M.2 dan U.2 yang mempunyai kelajuan penghantaran data sehingga 32Gb/s.

Ciri paling utama papan induk ini  yang khas untuk para pembina komputer ialah sistem lampu LED RGB Fusion. Lampu-lampu di sekeliling papan induk Z270X-Designare ini yang boleh diubahsuai mengikut kehendak pengguna. Tambah menarik pengguna boleh menukar corak dan warna lampu menggunakan peranti pintar Android atau iOS mereka.

Dalam pada itu, teknologi Smart Fan 5 pula membolehkan pembina-pembina komputer memfokuskan kepada penyejukan papan induk dan komponen-komponennya seperti CPU, RAM dan sebagainya. Ia mempunyai lima penyambung hibrid untuk kipas dan juga pam air, jika anda ingin menggunakan penyejuk cecair untuk sistem anda.

Enam sensor suhu disertakan pada pelbagai bahagian papan induk ini boleh dipantau menerusi perisian Smart Fan. Pengguna kemudian boleh mengawal kelajuan kipas melalui antaramuka yang mudah digunakan.

Dengan papan induk GA-Z270X Designare ini, anda mendapat gabungan terbaik kedua-dua prestasi dan rekabentuk yang pastinya akan membuat ramai peminat PC menoleh pandangan ke komputer anda.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd