Jerman Akan Memulakan Projek Pesawat Tempur Kalis Radar Bersama Airbus

Jerman Akan Memulakan Projek Pesawat Tempur Kalis Radar Bersama Airbus

Diterbitkan pada Mac 29, 2017 oleh .

Pesawat tempur masa hadapan perlu mempunyai kemampuan sukar dikesan radar atau lebih dikenali sebagai stealth. Pesawat dengan kemampuan ini sudah mula digunakan oleh Amerika Syarikat dalam bentuk F-22 Raptor. Russia, China, Korea Selatan, India, Turki, Jepun dan Indonesia adalah tujuh lagi negara yang sedang membangunkan pesawat tempur generasi ke-lima mereka. Jerman tidak mahu ketinggalan dan mengumumkan Future Combat Air System (FCAS) mereka dengan kerjasama Airbus.

Pesawat tempur FCAS dibangunkan bagi menggantikan pesawat Panavia Tornado yang sudah beroperasi sejak 1970an. FCAS perlu mempunyai ekor dan enjin berkembar, dua krew pesawat serta kemampuan sukar dikesan radar. Unik sekali mengenai projek ini ialah ia mungkin pesawat tempur pertama direka untuk beroperasi bersama dengan pelbagai jenis dron. Ia bukan sahaja boleh menggunakan maklumat intipan dron tetapi menjadi pesawat induk memberikan arahan kepada dron untuk melakukan serangan.

Kerajaan Jerman berharap FCAS akan memulakan operasi seawal 2030. Terdapat ramalan pesawat pejuang dengan juruterbang manusia akan pupus dengan penggunaan dron. Tetapi bagi Jerman masih terdapat ruang untuk manusia di medan perang masa hadapan.


TIPS & ULASAN