Cari @ Amanz

Selain daripada penawaran produk berasaskan navigasi, Garmin juga terkenal dengan penawaran peranti boleh pakai dengan fokus terhadap sukan dan aktiviti lasak. Salah satu produk yang menjadi tarikan adalah jam tangan dengan keupayaan GPS, yang membolehkan pengguna mendapatkan maklumat mengenai jarak dan tempo gerakan terus melalui pergelangan tangan anda.

Hari ini pada acara di Mid Valley, Kuala Lumpur, Garmin telah membawa siri Fenix 5 ke pasaran Malaysia dengan lima model berlainan — menerusi fēnix 5, fēnix 5 Sapphire, fēnix 5S, fēnix 5S Sapphire, dan fēnix 5X.

Siri fēnix 5 dilihat menawarkan rekabentuk yang tahan lasak melalui binaan bezel, butang, dan case di bahagian belakang yang dibina berasaskan besi tahan karat. Turut melengkapkan siri ini adalah kehadiran paparan skrin berwarna, pengesan denyutan nadi, bersama pengurusan notifikasi secara pintar. Ia juga menawarkan keupayaan GPS/GLONASS untuk pengesanan lokasi dan navigasi, kompas digital 3-paksi, gyroscope, barometric altimeter, dan thermometer.


fēnix 5

fēnix 5 dilihat menawarkan rekaan yang lebih dikhususkan untuk lelaki melalui saiz 47mm. Ia juga membawakan ketahanan bateri selama dua minggu, yang mana agak lama untuk dibandingkan dengan peranti pintar di pasaran. Apabila berada di dalam mod GPS, ia mampu bertahan selama 21 jam atau 44 jam ketika di dalam mod UltraTrac battery saver.


fēnix 5S

Agak menarik dalam siri ini, Garmin turut menawarkan model khas untuk golongan wanita, menerusi fēnix 5S dengan menampilkan rekaan yang lebih feminin. Ia hadir dalam saiz 42mm bersama pilihan warna perak bersama tali silikon berwarna putih. Agak berbeza dengan fēnix 5, fēnix 5S menawarkan ketahanan bateri sehingga 9 hari atau masa penggunaan sekitar 13 jam ketika di dalam mod GPS.


fēnix 5 Sapphire & fēnix 5S Sapphire

Garmin turut menawarkan fēnix 5 Sapphire dan fēnix 5S Sapphire yang mana didatangkan dengan kaca sapphire bagi melindungi daripada kesan calar. Ia juga membawakan tali jam ekstra dan fungsi WiFi bagi memudahkan jam tangan ini memuat-naik data kecergasan secara automatik.


fēnix 5X

Model yang terbesar di dalam siri ini ialah fēnix 5X, yang menampilkan pemetaan topografik (TOPO), peta berbasikal, bersama ciri-ciri Round Trip Run dan Round Trip Ride. Fungsi ini membolehkan pengguna memasukkan data seperti jarak perjalanan mereka ingin berlari atau berbasikal, dan jam tangan ini akan mencadangkan jalan yang perlu dituju untuk mencapai matlamat tersebut. Ia mempunyai masa ketahanan bateri selama 12 hari atau 20 jam untuk mod GPS atau 30 jam ketika di dalam mod UltraTrac battery saver.

fēnix 5X telah ditawarkan dalam saiz 51mm bersama kebolehan WiFi dan kaca sapphire untuk perlindungan calar yang maksimum.


Kesemua jam tangan ini boleh dihubungkan ke aplikasi Garmin Connect untuk penyimpanan data kecergasan dan Connect IQ untuk kebolehan memuat-turun aplikasi dan watchfaces pada jam ini.

Di Malaysia, fēnix 5 dan fēnix 5S telah ditawarkan pada harga RM2,899, manakala versi Sapphire untuk kedua-dua model ini telah dijual pada harga RM3,149. Bagi yang ingin mendapatkan fēnix 5X, ia bakal dijual pada April ini dengan penawaran harga RM3,399.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd