Cari @ Amanz

Pada hari ini, terdapat pelbagai telefon pintar berkuasa tinggi untuk Android, termasuk daripada Google sendiri seperti Pixel. Walaubagaimanapun, bagi kebanyakkan pengguna, telefon pintar siri-S daripada Samsung masih menjadi salah satu benchmark dalam melihat apakah pesaing terdekat Apple berkenaan tawarkan – sekaligus secara tidak langsung memacu industri telefon pintar ke hadapan lagi.

Samsung Galaxy S8Terkini, selepas pelbagai info berkaitan telefon pintar Galaxy S8 tertiris ke arena web, Samsung akhirnya mengambil pentas utama dan memperkenalkan telefon pintar Samsung Galaxy S8 mereka. Samsung kini tidak lagi menggunakan penjenamaan “Edge” memandangkan skrin tepi telah menjadi suatu ciri utama, dan tiada lagi penawaran telefon pintar siri-S dengan skrin mendatar seperti generasi sebelumnya. Untuk siri Galaxy S8, Samsung menawarkan dua variasi, iaitu Samsung Galaxy S8 dengan skrin bersaiz 5.8-inci, dan Samsung Galaxy S8+ dengan skrin bersaiz 6.2-inci. Membezakan kedua-duanya adalah saiz skrin dan kapasiti bateri sahaja – sebaliknya pelbagai penawaran lain yang dibawakan oleh Samsung adalah lebih kurang sama untuk kedua-duanya.

Bercakap bersama kami ketika pelancaran, wakil Samsung mengatakan mereka memfokuskan kepada tiga perkara dalam merealisasikan Galaxy S8 ini, iaitu rekaan skrin, kecerdasan buatan, dan juga ekosistem disebaliknya.

Rekaan Dan Skrin

Samsung Galaxy S8 membawakan perubahan drastik dari segi rekaan hadapan peranti, disamping pada masa yang sama cuba mengekalkan elemen rekaan Samsung. Pada bahagian hadapan, Samsung menggunakan skrin yang luas – dimana mereka memanggilnya sebagai Infinity Display. Dengan penggunaan bingkai yang lebih kecil, membuang butang Home fizikal, dan menggunakan skrin melengkung, Samsung kini berjaya mencapai nisbah skrin ke badan 83% – sekaligus memberikan pengguna lebih ruangan untuk melakukan tugasan dan menikmati media. Melalui rekaan skrin baru ini, ia menawarkan nisbah paparan 18.5:9, sekaligus membolehkan pengguna menikmati video padanya dengan lebih baik tanpa paparan bingkai hitam yang besar.

Samsung Galaxy S8

Disamping itu, kini Samsung Galaxy S8 menyertakan sokongan Mobile HDR+ Premium – dimana aplikasi dan kandungan yang menyokongnya akan dipaparkan dengan lebih jelas pada telefon pintar ini. Skrin bersaiz besar juga ditekankan oleh Samsung membolehkan pengguna untuk melakukan pelbagai tugasan dengan pantas melaluinya – termasuk membuka dua aplikasi dan menggunakannya pada waktu yang sama.

Samsung juga mengatakan mereka menggunakan rekaan simetrikal pada telefon pintar ini. Dari percubaan sementara kami sendiri, penggunaan Galaxy S8 tampak selesa ditangan – tidak terlalu licin, dan juga saiznya sangat selesa pada tangan. Beberapa pilihan warna ditawarkan oleh Samsung, tetapi bagi kami secara peribadi dilihat warna hitam lebih memukau hati. Selain hitam, Galaxy S8 juga turut ditawarkan dalam pilihan warna emas, perak, biru, dan kelabu. Penawaran warna ini mungkin berbeza mengikut negara.

Samsung Galaxy S8

Seperti pada Galaxy S7 sebelum ini, Samsung Galaxy S8 turut hadir dengan sokongan kalis air dan debu pada piawaian IP68. Perkara ini mungkin memudahkan anda sekiranya ingin membasuh peranti, memandangkan bahagian belakang telefon pintar dilihat sedikit merakamkan kesan cap jari. Mungkin ia tidak begitu memberikan kesan kepada pengguna kerana ramai yang membeli peranti premium turut menggunakan kerangka luar tambahan bersama-sama dengannya.

Spesifikasi

Samsung Galaxy S8
Skrin 5.8″ Quad HD+
Pemproses Lapan Teras, 10nm, 64bit
Cip Grafik Mali-T720 MP2
RAM 4GB LPDDR4
Muatan Dalaman 64GB + Mikro-SD 256GB
Kamera Utama 12MP OIS F1.7
Kamera Depan 8MP AF F1.7
Kalis Air IP68
Bateri 3000 mAh
Bicu Audio Ya
Lain-Lain Pengimbas mata, NFC, USB-C.

Samsung Galaxy S8 menjadi telefon pintar pertama Samsung dengan cip pemprosesan menggunakan rekaan teknologi 10nm. Melaluinya, ia kini menawarkan kuasa pemprosesan yang berkuasa tinggi, tetapi pada masa yang sama lebih efisyen dalam penggunaan tenaga. Samsung menggunakan memori 4GB RAM, dan ruangan storan sebesar 64GB bersama-sama dengannya. Ruangan storan Galaxy S8 menggunakan format UFS 2.1, menawarkan kebolehan membaca dan menulis data lebih pantas berbanding peranti lain di pasaran. Bagi pengguna yang inginkan ruangan storan lebih besar, anda boleh menggunakan kad mikro-SD sehingga 256GB padanya.

Samsung Galaxy S8 dengan skrin 5.8-inci dilengkapi bateri berkapasiti 3000mAh, sementara Galaxy S8+ dengan skrin 6.2-inci dilengkapi bateri berkapasiti 3500mAh. Seperti biasa, saiz bateri akan menjadi kerisauan ramai. Kami secara peribadi masih tidak mengujinya lagi. Tetapi secara teknikalnya, walaupun ia menawarkan kapasiti lebih kurang sama pada Galaxy S7, tetapi memandangkan menggunakan cip 10nm, maka sepatutnya masa bertahan bateri adalah lebih lama.

Sokongan pengecasan pantas turut disertakan pada telefon pintar ini, selain integrasi sokongan pengecasan tanpa wayar. Samsung Galaxy S8 menggunakan port pengecasan berasaskan USB-C.

Sokongan lain yang turut disertakan adalah Bluetooth 5.0, NFC, integrasi pengimbas cap jari dibelakang bersebelahan dengan lensa kamera, dan pengimbas mata dihadapan.

Samsung Galaxt S8

Samsung turut menyertakan Pressure Sensor pada skrin, membolehkan anda menekan butang maya skrin seumpama anda menekan butang Home fizikal sebelum ini.

Kamera

Samsung Galaxy S8 menggunakan kamera belakang 12-megapixel (F/1.7) pada bahagian belakang dengan teknologi Dual Pixel. Berbeza dengan kebanyakkan pengeluar lain yang menggunakan dwi-kamera, Samsung masih mengekalkan penggunaan satu lensa seperti sebelumnya. Walaubagaimanapun, hasil rakaman daripada percubaan ringkas kami memperlihatkan kualiti rakaman yang sangat dipertingkatkan berbanding pada Galaxy S7. Perkara ini mungkin dijayakan oleh Samsung melalui pemprosesan gambar lebih baik.

Samsung Galaxy S8

Pada bahagian hadapan pula, Samsung menyertakan kamera 8-megapixel (F/1.7) dengan sokongan autofokus. Pada kamera hadapan juga, Samsung menyertakan mod menambah kesan tambahan pada gambar seumpama Snapchat. Ini sekaligus membolehkan anda menambah kesan animasi tambahan tanpa perlu memuat-turun sebarang aplikasi tambahan.

Pada perisian kamera juga, Samsung menyertakan pautan pantas untuk Bixby Vision – iaitu sokongan kecerdasan buatan daripada Samsung. Ia membolehkan anda mengimbas sesuatu produk fizikal, dan mengetahui info mengenainya – termasuk pautan untuk membelinya di laman e-dagang. Namun, sokongan membeli berkenaan mungkin terhad untuk beberapa negara sahaja untuk peringkat permulaan.

Samsung Experience 8.1

Melengkapkan pengenalan telefon pintar Samsung adalah penggunaan antaramuka baru mereka yang dikenali ramai sebagai TouchWiz. Melalui laman tetapan, kini ia dikenali sebagai Samsung Experience dan menawarkan versi 8.1.

Samsung Experience

Bagi kami sendiri, antaramuka Samsung kali ini jauh lebih kemas berbanding sebelumnya. Ia menjadi antaramuka pertama Samsung yang menggunakan butang navigasi maya, selain turut memberikan pelbagai pilihan kepada pengguna dalam tetapan – seperti mengubah akses pantas aplikasi daripada Lockscreen, kebolehan memperlihatkan butang talam aplikasi atau sebaliknya, menyembunyikan aplikasi, dan pelbagai ciri-ciri lain.

Samsung juga turut memberikan nafas baru untuk beberapa aplikasi, termasuk S-Health. Memfokuskan sama pada antaramuka baru ini adalah integrasi Samsung Connect yang membolehkan anda mengawal pelbagai peralatan elektronik dibawah ekosistem Samsung dengan terus melalui telefon pintar Galaxy S8. Ciri Secure Folder turut dikekalkan bagi membolehkan anda menyimpan data dan info penting – serta mengelak ia daripada diakses pengguna lain ketika anda meminjamkan telefon dan sebagainya.

Bixby

Bercakap mengenai antaramuka dan sistem operasi baru, Samsung kini turut hadir dengan pembantu maya digital mereka tersendiri dinamakan Bixby. Seperti pembangu maya lain, ia dilengkapi sokongan pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan bagi membolehkan ia memahami penggunaan anda dan mencadangkan perkara berasaskan kepada konteks.

Bixby menawarkan sokongan input berasaskan suara – dan berbeza berbanding pengeluar lain, Samsung mengatakan apa yang anda boleh input menggunakan sentuh, anda juga boleh lakukannya melalui arahan suara menggunakan Bixby.

Bixby

Samsung meletakkan butang fizikal Bixby pada bahagian kiri peranti, dimana anda boleh menekan dan mengaksesnya dengan mudah. Selain itu, anda juga boleh menatal ke bahagian kiri pada Homescreen untuk melihat Bixby Home.

Bixby Home beroperasi seumpama Google Now, membolehkan anda melihat pelbagai kemaskini seperti berita semasa, kalendar anda, temujanji, dan pelbagai peringatan melaluinya. Dan akhir sekali, Bixby Vision – seperti diperkatakan pada awalnya, ia diintegrasikan pada kamera dan memudahkan anda mengenal-pasti sesuatu objek.

Samsung Galaxy S8

Walaupun mempunyai integrasi Bixby, pengguna masih boleh menggunakan Google Assistant seperti biasa dengan mengaksesnya melalui butang Home. Bagi kami sendiri, mungkin pengguna Samsung akan lebih mengenali Bixby berbanding Google Assistant disebabkan oleh penawaran butang fizikal untuknya. Sehingga ke hari ini, masih ramai pengguna yang tidak mengetahui kewujudan Google Assistant – dan tidak menggunakannya. Perkara ini mungkin berubah melalui penawaran butang fizikal untuk Bixby, sekaligus menjadikan ia lebih popular dikalangan pengguna peranti Samsung.

Penutup

Samsung Galaxy S8 juga turut hadir dengan sejumlah aksesori seperti kerangka luar, serta sebuah aksesori baru Samsung DeX yang membolehkan ia digunakan bersama skrin monitor sebagai sebuah komputer. Samsung melalui Samsung Experience dilihat menawarkan antaramuka khusus untuk Samsung DeX ini pada skrin komputer – selari seumpama sistem operasi komputer lain pada hari ini.

Samsung DeX

Secara keseluruhan, menggunakan Samsung Galaxy S8 untuk sementara waktu sendiri membuatkan kami jatuh hati padanya. Seperti biasa, walaupun segala penawaran yang hadir adalah sangat menarik – selain memperlihatkan peralihan Samsung yang lebih mendengar input pengguna serta mengurangkan kecelaruan antaramuka dan aplikasi, perkara akhir yang akan menjadi penentu ia terjual dengan banyaknya adalah harga jualan akhirnya.

Kadar mata wang Malaysia sendiri sedia membuatkan pelbagai peranti pada tahun ini meningkat harga jualannya. Mungkin kita akan melihat ramai pengguna beralih kepada Galaxy S8 ini sekiranya harga tawarannya adalah berbaloi dan tidak melangkaui penawaran mereka sebelum ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd