Facebook pada hari ini sedia menawarkan sokongan bot pada Messenger – membolehkan pengguna menyemak atau mendapatkan maklumat mengenai sesuatu perkara dengan pantas. Kini, bergerak kehadapan, Facebook dikatakan dalam persiapan untuk memperkenalkan sokongan bot untuk permesejan berkumpulan pada Messenger.
Menurut TechCrunch, Facebook telah sedia bekerjasama dengan beberapa pembangun dan dijangka memperkenalkan ia pada acara khusus pembangun, F8 kelak.
Melalui bot untuk permesejan berkumpulan ini, ia dikatakan bot berkenaan akan berfungsi untuk menyampaikan info terkini dengan pantas. Sebagai contoh, sekiranya anda mempunyai kumpulan permesejan mengenai bola sepak, anda boleh menambah bot khusus untuknya dan menerima informasi semasa berkaitan perlawanan dan sebagainya terus pada Messenger.
Integrasi bot pada permesejan berkumpulan juga dijangka akan mempopularkan sokongan bot pada Messenger – salah satu fungsi yang masih jarang digunakan ramai di seluruh dunia.
Seperti biasa, pihak Facebook tidak mengeluarkan sebarang komen berkaitan dengannya buat masa ini. Mungkin kita akan mengetahui lanjut mengenainya pada acara F8 kelak.