Nampaknya tarikh keramat 11 April bakal mempunyai satu lagi pelancaran baru, dan kali ini, permainan RPG lagenda Planescape Torment bakal menerima kemaskini yang terbaru, dan akan dipasarkan sebagai Planescape Torment: Enhanced Edition.
Versi baru ini dibangunkan oleh Beamdog, Hasbro dan Wizards of The Coast, dan permainan video ini akan menyokong sistem operasi Windows serta MacOS. Menurut jurucakapnya, permainan ini bakal menyokong resolusi 4K, dan akan diberi muzik latar yang diperbaharui untuk memberi pemain pengalaman yang lebih mendalam.
Permainan video ini juga turut menerima sokongan dari Chris Avellone, yang merupakan lead game designer untuk permainan tersebut. Beliau akan memberikan input beliau untuk kemaskini yang perlu dilakukan untuk memastikan permainan tersebut boleh dimain dengan lancar.
Yang menariknya, Planescape Torment: Enhanced Edition ini juga akan hadir pada masa yang sama untuk platform mudah-alih Android dan iOS.
Beamdog akan melancarkan permainan video ini pada 11 April nanti pada harga USD$20 di platform penjualan permainan digital seperti Steam, GOG, dan Mac App Store. Dalam pada itu, ia juga boleh dibeli di Google Play Store dan Apple App Store untuk USD$10.