Cari @ Amanz

Satu perkara yang kami gemari mengenai media sosial ialah ia digunakan untuk membantu insan yang diberikan. Mesej tular mengenai kanak-kanak yang memerlukan bantuan pembedahan dan membeli peralatan sekolah kerap kami lihat di susur masa. Masalah utama ialah wujud insan-insan yang mengambil kesempatan untuk menangguk di air yang keruh. Mesej tular palsu dihasilkan untuk kepentingan peribadi.

Facebook menyedari kekuatan platfrom mereka dalam penyebaran mesej tular. Oleh itu mereka melancarkan Facebook Personal Fundraiser untuk memudahkan pengguna mengumpul dana peribadi secara perkongsian umum (crowd fund). Personal Fundraiser hanya boleh digunakan oleh pengguna berusia 18 tahun ke atas. Fungsi ini hanya boleh digunakan untuk enam kategori khusus iaitu,

  • Pendidikan – mengumpul dana pendidikan dan derma peralatan sekolah
  • Perubatan – mengumpul dana membayar kos perubatan
  • Haiwan Belaan –  mengumpul dana perubatan haiwan kesayangan
  • Bencana Alam – membantu insan ketika kecemasan akibat bencana alam
  • Kecemasan Peribadi – jika berlaku kecurian, rumah terbakar atau kemalangan
  • Kematian – mengumpul dana untuk kos pengurusan pengebumian dan sara hidup waris yang masih hidup.

Laman khas mengumpul dana akan dibuka selepas menjalani proses saringan selama 24 jam. Pihak Facebook akan mengenakan bayaran berjumlah 6.9% + 30 sen bagi menanggung kos pengurusan dan mengelakkan penipuan. Buat masa ini Personal Fundrasier masih dalam ujian di Amerika Syarikat bagi memperhalusi sistem sebelum diaktifkan kepada semua.

Nampaknya selepas “meniru” pelbagai fungsi Snapchat, Facebook kini mahu mengalahkan GoFundMe pula. Bagi kami dengan adanya platform seperti ini, kami terasa lebih selamat untuk menghulurkan derma tanpa was-was.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd