Microsoft sebelum ini sedia mengumumkan mereka bakal menawarkan kemaskini Windows 10 Creators Update pada 11 April kelak, dan hari ini gergasi perkomputeran berkenaan berkongsi lanjut mengenainya.
Menurut Microsoft, pengguna Windows 10 sedia ada yang tidak sabar menantikan tarikh 11 April untuk muat-turun secara automatik, mereka boleh mendapatkan kemaskini Windows 10 Creators Update secara manual bermula 5 April – iaitu seminggu lebih awal daripada kemaskini automatik. Pengguna akan perlu mendapatkannya melalui Update Assistant bermula tarikh berkenaan.
Disamping itu, pengguna Windows Phone pula dijangka akan menerima kemaskini Creators Update bermula 25 April kelak – tetapi seperti biasa bergantung kepada jenis peranti.
Windows 10 Creators Update memfokuskan kepada penawaran penghasilan lebih banyak kandungan berbentuk 3D dengan mudah, selain turut menyertakan sokongan set realiti-maya dan juga Game Mode.