Tarikh 1 April sering dikaitkan dengan hari April Fool – dimana pelbagai syarikat teknologi sering hadir dengan lawak jenaka kreatif masing-masing pada hari ini. Sejak daripada awal pagi tadi, beberapa lawak kreatif telah hadir, dan melalui artikel ini kami mengumpulkan kesemuanya untuk rujukan anda.
Samsung Exynos Yoga – Cip Untuk Peranti Fleksibel
Samsung sedia terkenal dengan penawaran cip pemprosesan dibawah nama Exynos. Pelbagai peranti keluaran Samsung menggunakannya, selain turut digunakan oleh Meizu pada produk mereka. Kini, dengan beberapa konsep peranti fleksibel di pasaran, Samsung bersempena dengan 1 April ini mengumumkan cip pemprosesan berbentuk fleksibel mereka, dinamakan Exynos Yoga.
Acer Predator Zero – Komputer Riba Tanpa Sebarang Port
Pada hari ini, port pada komputer riba adalah suatu perkara yang penting untuk menghubungkan aksesori seperti tetikus, pengecas, pemacu USB, kabel LAN, dan sebagainya. Untuk jenaka April Fool daripada Acer, mereka hadir dengan konsep Predator Zero yang mana merupakan komputer riba tanpa sebarang port. Walaupun ia kelihatan sebagai suatu jenaka pada hari ini, perkara ini tidak mustahil pada suatu hari nanti.
Google Gnome
Google telah menawarkan Google Home, sebuah peranti yang menjawab dan berinteraksi dengan pengguna di rumah sejak daripada tahun lepas. Untuk jenaka Google Gnome, ia membawa konsep untuk suatu Google Home yang dioptimasikan untuk persekitaran terbuka diluar rumah – dan menjawab pelbagai persoalan seperti cuaca, tiupan angin, pertanyaan mengenai tumbuhan dan sebagainya.
Google Wind – Kincir Angin Pintar Untuk Elak Hujan
Kincir angin sedia digunakan untuk menjana elektrik daripada tenaga angin. Untuk idea April Fool kali ini, Google memperlihatkan penggunaan kincir angin untuk meniup awan hujan, dan sekaligus mengelak daripada hujan turut di sesuatu kawasan.
RAZR Moto Mod – Mod Pisau Cukur Untuk Moto Z
Moto Z sedia menawarkan sokongan untuk pelbagai modil tambahan dinamakan Moto Mod. Kini, bersempena April Fool, mereka hadir dengan mod pisau cukur untuk Moto Z – dimana ia membolehkan anda mencukur wajah dengan mudah, selain turut menawarkan notifikasi apabila anda perlu cukur wajah.
Honor BFF – Telefon Yang Memberi Pujian Dan Semangat Kepada Anda
Honor, anak syarikat Huawei turut tidak ketinggalan dalam menyambut April Fool dengan jenaka tersendiri. Untuk tahun 2017 ini, mereka hadir dengan idea Honor BFF – iaitu sebuah telefon pintar yang hadir dengan pembelajaran mesin untuk memberikan anda pujian dan semangat setiap masa.
GeForce GTX G-Assist – Membantu Anda Mengelak AFK Ketika Bermain
NVIDIA sedia terkenal dengan jenama GeForce mereka, dan kini mereka hadir dengan GeForce GTX G-Assist. Melaluinya, ia menggunakan sokongan kecerdasan pintar bagi membolehkan anda terus memainkan permainan video sekaligus mengelakkan AFK (meninggalkan permainan video berkenaan). Sebagai contoh, anda boleh aktifkan G-Assist ketika sedang memainkan permainan, dan pergi membuka pintu atau makan, dan sebagainya.
Google Hadir Dengan Aksesori Untuk Chromebook Seperti Kayu Selfie
Pasukan Chromebook hadir dengan lawak jenaka mereka tersendiri, iaitu aksesori peranti mudah-alih yang dioptimasikan untuk komputer riba. Dibawahnya, antara yang diperlihatkan adalah termasuk kayu selfie untuk komputer riba, Chromebook Cardboard untuk menonton kandungan realiti-maya, dan juga Chromebook Workout Armband.
Razer Hadir Dengan Kawan Robot
Dengan perkembangan arena robotik, Razer memperlihatkan konsep sebuah robot yang hidup seumpama rakan, dan berinteraksi seperti rakan-rakan anda yang lain. Dinamakan sebagai SAiSO, ia turut boleh digunakan sebagai jurulatih untuk permainan video. Razer sebelum ini pernah hadir dengan jenaka komputer riba menggunakan tiga skrin beberapa tahun lepas, dan akhirnya merealisasikan ia sebagai sebuah produk akhir pada CES 2017 tahun ini. Mungkinkah robot ini turut akan direalisasikan?