Janakuasa Elektrik Menggunakan Kuasa Taufan Dibangunkan Di Jepun

Janakuasa Elektrik Menggunakan Kuasa Taufan Dibangunkan Di Jepun

Diterbitkan pada Apr 3, 2017 oleh .

Tahun demi tahun Jepun dilanda angin taufan yang membawa kemusnahan yang teruk. Pepatah Inggeris ada menyebut, “sekiranya kehidupan memberikanmu limau, buatlah teh-o-ais limau”. Taufan yang melanda saban tahun ini akan menjadi sumber tenaga lestari di Jepun. Janakuasa elektrik yang menggunakan kuasa taufan telah dibangunkan oleh syarikat Challenergy.

Berbeza dari janakuasa elektrik kincir udara, janakuasa Challenergy tidak mempunyai bilah kipas. Sebaliknya ia menggunakan prinsip Kesan Magnus untuk memusingkan tiga silinder yang dipasang secara menegak. Kerana ia tidak menggunakan kipas yang berputar, kebarangkalian janakuasa ini untuk musnah akibat tiupan angin kencang taufan adalah rendah. Sebuah lagi kelebihan menggunakan Kesan Magnus untuk memutarkan silinder ialah, angin boleh bertiup dari pelbagai arah untuk memusingkan janakuasa.

Pembangunan janakuasa yang menggunakan sumber kuasa lestari berlaku dengan pesat di Jepun selepas gembar bumi Tohoku 2011. Jepun menutup beberapa stesen janakuasa elektrik kerana risau insiden letupan berulang seperti di loji Fukushima. Challenergy berharap sistem janakuasa keluaran mereka ini akan beroperasi menjelang 2020 sebelum Tokyo menjadi tuan rumah sukan Olimpik.


TIPS & ULASAN