MSI Memperkenalkan Papan Induk MSI X370 Gaming Pro Carbon AC
MSI

MSI Memperkenalkan Papan Induk MSI X370 Gaming Pro Carbon AC

Diterbitkan pada Apr 4, 2017 oleh .

Cip pemprosesan terbaru dari AMD, AMD Ryzen kini mendapat perhatian orang ramai kerana nisbah harga-ke-prestasinya yang sangat menarik, dan memandangkan CPU Ryzen 5 dikatakan bakal hadir tidak lama lagi, pilihan untuk papan-papan induk AM4 yang baru sangatlah dialu-alukan.

Papan induk terbaru dari MSI ini ialah MSI X370 Gaming Pro Carbon AC, yang hadir dengan sokongan WiFi 802.11ac yang terbaru. Sokongan ini hadir melalui kad pengawal yang berasingan yang juga mempunyai ciri Bluetooth 4.2, yang membolehkan komputer anda berhubung dengan peranti-peranti seperti telefon pintar, papan kekunci dan tetikus tanpa wayar.

Kad ini akan mengambil tempat satu slot PCIe papan induk tersebut, dan selain dari sokongan untuk Dual Band 2×2 802.11ac, ia juga mempunyai sambungan MU-MIMO Rx melalui cip pengawal Intel Dual Band Wireless-AC 8265.

Bukan itu sahaja, papan induk ini juga hadir dengan perisian MSI Gaming LAN yang membenarkan komputer anda bersambung kepada dua jenis sambungan: satu sambungan WiFi, dan satu lagi sambungan kabel. Melalui perisian ini anda juga boleh menugaskan perisian yang berlainan kepada sambungan-sambungan yang berbeza ini. Misalnya anda boleh menugaskan aplikasi Steam dan permainan-permainan videonya ke sambungan kabel, manakala perisian seperti Chrome dan sebagainya boleh disambung ke sambungan WiFi.

Dalam pada itu, rekabentuk papan induk X370 Gaming Pro Carbon AC juga berwarna hitam, dan dihiasi oleh sistem lampu LED Mystic Lights, yang pastinya menambah seri kepada binaan komputer anda.


TIPS & ULASAN