Dengan kehadiran cip pemprosesan Intel Kaby Lake, nampaknya rekabentuk komputer menarik yang hadir dengan prestasi yang tinggi semakin menular pengeluarannya kebelakangan ini.
Terkini, ASUS baru sahaja mengumumkan bahawa ia akan melancarkan komputer AIO (All-In-One) terbaru mereka, yang dinamakan ASUS Zen AIO ZN270IE. Komputer AIO ini menggunakan cip pemprosesan terbaru daripada Intel, dan akan diberi pilihan untuk menggunakan sama ada CPU Intel Core i7-7700T ataupun Intel Core i5-7400T, dengan memori DDR4 sebanyak 4GB sehingga 16GB.
Rekabentuk cangkerang AIO Zen ini menggunakan logam aluminum yang memberikan komputer ini rupa yang sangat premium. Bagi mereka yang mementingkan kualiti audio, komputer ini juga hadir dengan sepasang pembesar suara rekaan Harman/Kardon yang mampu mengeluarkan bunyi yang nyaring dan merdu.
Menariknya, Zen AIO ZN270IE ini juga akan hadir dengan paparan skrin IPS bersaiz 27 inci dengan resolusi Full HD (1920×1080), dan pembeli yang berminat boleh memilih sama ada mahu menggunakan paparan biasa ataupun paparan dengan fungsi sesentuh 10 jari.
Dalam pada itu, komputer tersebut juga akan hadir dengan storan SSD sebanyak 512GB dan juga cakera keras 1TB ataupun 2TB. Ia juga hadir dengan empat port USB 3.0 Type-A, dua port USB 2.0 Type A dan juga sebuah pembaca kad SD.
Buat masa ini, tarikh pengeluaran dan juga harga untuk komputer ini masih lagi belum diketahui, tetapi dengan rekabentuk dan spesifikasinya yang agak menarik, ada kemungkinan kita tidak perlu menunggu begitu lama untuk kehadiran komputer ini.