Perkhidmatan Penstriman YouTube TV Dilancarkan Secara Rasmi

Perkhidmatan Penstriman YouTube TV Dilancarkan Secara Rasmi

Diterbitkan pada Apr 6, 2017 oleh .

Perkhidmatan penstriman seperti YouTube “membunuh” siaran televisyen tradisional. Kami sendiri sudah lama tidak menonton siaran TV secara langsung dan hanya menonton siaran yang telah dirakam ke dalam DVR. Perkhidmatan penstriman YouTube TV diumumkan Mac lalu dan hari ini ia dilancarkan secara rasmi di Amerika Syarikat.

Buat masa ini ia hanya ditawarkan di New York, Los Angeles, San Francisco Bay Area, Chicago dan Philadelphia. Dengan bayaran $35 (~RM 155) sebulan pengguna boleh menonton 50 saluran TV serta kandungan YouTube Red menerusi telefon pintar, tablet dan komputer. Dengan sokongan Chromecast kandungan turut boleh dipancarkan ke televisyen. Antara saluran yang disertakan ialah ABC, CBS, FOX, NBC, ESPN, Fox Sports Networks, Comcast SportsNet, FX, USA, Disney Channel dan MSNBC.

Pengguna juga mempunyai akses kepada sistem DVR awanan tanpa had storan seperti pada set kotak-televisyen Astro. Rakaman akan disimpan sehingga sembilan bulan sebelum dipadam. Saluran televisyen kini telah berubah menjadi saluran peranti pintar. Tidak mengejutkan di masa hadapan format televisyen seperti yang kita lihat sekarang akan digantikan dengan saluran penstriman atas talian sepenuhnya.


TIPS & ULASAN