EKWB Mengumumkan Blok Penyejukan Cecair Untuk NVIDIA GTX 1080 Ti

EKWB Mengumumkan Blok Penyejukan Cecair Untuk NVIDIA GTX 1080 Ti

Diterbitkan pada Apr 6, 2017 oleh .

Syarikat-syarikat pembina kad grafik seperti ASUS dan MSI sudahpun mengumumkan ketibaan kad grafik GTX 1080 Ti yang menggunakan sistem penyejukan cecair, tetapi sistem-sistem ini agak besar dan mengambil tempat slot pengembangan di belakang komputer yang agak banyak.

EKWB, sebuah jenama blok penyejukan untuk CPU dan kad grafik dari Slovenia kini baru sahaja mengumumkan blok penyejukan untuk kad grafik NVIDIA GTX 1080 Ti yang membolehkan anda menukar kad grafik tersebut daripada sebuah kad yang mengambil dua slot pengembangan kepada satu slot sahaja, dan ini memudahkan pengguna untuk memasang lebih daripada satu kad grafik dalam konfigurasi SLI.

Blok penyejuk ini bertugas menyejukkan komponen seperti GPU, RAM dan juga VRM (Voltage Regulation Module), supaya mereka mampu di-overclock dan berfungsi dengan baik tanpa perlu risau masalah suhu.

Blok penyejuk EKWB ini juga pemempunyai teknologi pengaliran cecair baru yang membolehkan blok ini mengalirkan cecair penyejuk kepada komponen-komponen tersebut dengan berkesan, walaupun pengguna menggunakan pam air yang berkuasa rendah.

EKWB juga ada mengeluarkan senarai model kad grafik yang menyokong blok penyejuk ini, dan nampaknya kebanyakan kad yang disokong merupakan kad yang menggunakan model Founders Edition sebagai asas binaan mereka.

Harga untuk blok penyejuk EKWB GTX 1080 Ti ini sudahpun diumumkan, dan ia akan hadir dalam dua  model, satu menggunakan blok yang diperbuat daripada logam nikel, dan satu lagi merupakan campuran nikel dan asetal. Dalam pada itu, backplate untuk kad grafik juga boleh dibeli secara berasingan.

Buat masa ini, blok penyejuk GTX 1080 Ti ini boleh di-pra tempah di laman web EKWB, ataupun di laman web rakan-kongsi penjual mereka, dan kad ini akan mula dijual pada 12 April kelak. Di Malaysia, rakan-penjual EKWB merupakan Emarque, yang juga menjual blok-blok penyejuk untuk kad-kad grafik lain seperti GTX 1080 dan 1070.


TIPS & ULASAN