NVIDIA Hadir Dengan Titan Xp – Kad Grafik NVIDIA Terbaru Yang Paling Berkuasa

NVIDIA Hadir Dengan Titan Xp – Kad Grafik NVIDIA Terbaru Yang Paling Berkuasa

Diterbitkan pada Apr 7, 2017 oleh .

Jika anda salah seorang daripada mereka yang merasakan bahawa kad grafik NVIDIA GTX 1080 Ti belum cukup bangsawan untuk citarasa gaming anda, tahniah, kerana syarikat tersebut baru sahaja mengumumkan kad grafik terbaru dan tercanggih mereka – NVIDIA Titan Xp.

Kad grafik Titan Xp ini menggunakan cip pemprosesan grafik GP102 yang sama digunakan oleh kad grafik GTX Titan X sebelum ini. Akan tetapi, kad grafik yang terbaru ini mempunyai beberapa penaik-tarafan yang membuatkannya lebih baik daripada pendahulunya.

Ini termasuklah penambahan jumlah teras CUDA, dimana Titan Xp mempunyai 3840 teras, memori GDDR5 sebanyak 12GB pada kelajuan 11.4GHz, dan juga kelajuan Boost Clock sebanyak 1582MHz. Dalam pada itu, ia juga mempunyai 96 ROP (Render Output Unit) dan 240 TMU (Texture Mapping Unit), yang menunjukkan bahawa Titan Xp ini merupakan sebuah kad grafik di mana kesemua kemampuan cip pemprosesan grafik GP102 ini dapat ditonjolkan.

Buat masa ini, kad grafik NVIDIA Titan Xp ini merupakan kad grafik yang tercanggih oleh NVIDIA, dan akan hadir untuk harga $1200 (RM5324).

Sayangnya, walaupun anda mempunyai wang untuk membeli gergasi grafik ini, menurut NVIDIA, ia hanya akan dijual secara ekslusif di GeForce.com, dan hanya boleh dibeli di negara-negara dimana kedai jualan atas-talian tersebut beroperasi.


TIPS & ULASAN