Sony Melancarkan Tablet E-Ink DPT-RP1 Dengan Sokongan Stylus

Sony Melancarkan Tablet E-Ink DPT-RP1 Dengan Sokongan Stylus

Diterbitkan pada Apr 11, 2017 oleh .

Jualan tablet menjunam sejak dua tahun kebelakangan ini kerana pengguna sudah mula berubah ke peranti phablet. Tetapi ini tidak menghalang Sony dari melancarkan tablet baru dengan fungsi yang unik. Sony DPT-RP1 berbeza dari tablet lain di pasaran kerana ia dilengkapi skrin e-ink dengan sokongan stylus.

Tablet ini dilancarkan untuk kegunaan di pejabat sebagai ganti kepada membawa fail kertas kerja yang berat. Pelbagai dokumen kerja boleh dihasilkan serta disunting menggunakan DPT-RP1. Permukaan skrin direka supaya apabila menggunakan stylus ia terasa seperti menulis di atas kertas. Kerana menggunakan skrin e-ink, bateri tablet ini mampu bertahan sehingga tiga minggu.

Dari segi spesifikasi ia dilengkapi skrin 13.3″ (A4) dengan resolusi 1650×2200 pixel, pemproses Marvell IAP140 empat teras dan storan 16 Gigabyte. Walaupun spesifikasinya tidak menakjubkan. Sony DPT-RP1 dijual pada harga ¥ 80,000 (~RM 3206) sebuah bermula Jun hadapan.


TIPS & ULASAN