Cari @ Amanz

Microsoft pada bulan Ogos tahun lalu telah memperkenalkan kemaskini Windows 10 Anniversary Update, iaitu kemaskini utama selepas setahun Windows 10 dilancarkan. Ia telah menawarkan pelbagai pembaharuan besar seperti kehadiran Windows Ink untuk penggunaan stylus selain hadir dengan sokongan extensions pada Microsoft Edge.

Belum cukup setahun selepas perkenalan kemaskini tersebut, Microsoft kini memberikan pula kemaskini Creators Update yang memfokuskan kepada penghasilan kreatif melalui Windows 10. Ia telah hadir dengan sejumlah perubahan seperti kehadiran aplikasi penghasilan 3D, pengoptimasian untuk penggunaan Mixed Reality, dan kehadiran Game Mode untuk meningkatkan prestasi ketika memainkan permainan.

Windows 10 Creators Update telah mula diedarkan bermula hari ini dan berikut adalah 10 fungsi utama yang dibawa pada kemaskini ini.


01
Sokongan 3D

Antara fungsi utama yang menjadi fokus kepada kemaskini ini ialah penghasilan 3D, termasuk pengoptimasian beberapa aplikasi untuk memaparkan grafik 3D ini. Kemaskini Creators Update telah membawa satu aplikasi baru iaitu Paint 3D yang membolehkan pengguna menghasilkan grafik 3D dengan mudah, tanpa perlu mempelajari aplikasi yang bersifat professional terlebih dahulu.

Ia juga membawa aplikasi View 3D Preview yang membolehkan pengguna memamparkan file 3D seperti .fbx dan .3mf terus melalui Windows 10 secara natif. Microsoft Edge juga menyokong 3D, terutama sokongan untuk memuat-naik dan memuat-turun kandungan 3D. Aplikasi Office menerusi PowerPoint juga menerima sokongan ini, melalui sokongan transition dengan grafik 3D yang lebih intensif.


02
Sokongan Mixed Reality

Kemaskini ini turut memberi fokus kepada Mixed Reality — iaitu gabungan Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR) — dalam menawarkan interaksi yang lebih imersif kepada pengguna. Beberapa aplikasi di dalam Windows 10 telah diberikan pengoptimasian Mixed Reality, seperti Edge yang kini menyokong WebVR, termasuk sokongan hardware untuk teknologi ini secara natif.

Windows 10 Creators Update turut memberikan tetapan Mixed Reality pada halaman Settings untuk mengawal tetapan aplikasi dan peranti yang menggunakan teknologi ini. Ia juga hadir dengan aplikasi Mixed Reality Portal untuk memberi pendedahan kepada pengguna dalam penggunaan Mixed Reality ini.


03
Game Mode

Windows 10 Creators Update turut menekankan pengalaman permainan yang lebih sempurna melalui perkenalan Game Mode. Apabila diaktfikan, Windows 10 akan memberi ruang kepada permainan untuk mendapatkan prestasi yang lebih tinggi, berbanding aplikasi yang sedang berjalan di belakang tabir. Namun fungsi ini, buat masa ini, dilihat lebih dioptimasikan untuk permainan Windows Store dan bakal menyokong beberapa permainan desktop secara berperingkat.

Selain prestasi, Creators Update turut memberikan pengguna kelebihan untuk strim permainan melalui fungsi Beam. Ia memudahkan pengguna untuk berinteraksi seperti chat dengan pengguna lain secara nyata, tanpa sebarang pemasangan hardware dan aplikasi tambahan.


04
Penambahbaikan Microsoft Edge

Microsoft turut memberikan pembaharuan pada Edge yang kini menawarkan pengalaman yang lebih pantas dan stabil melalui penukaran architecture yang diperbaharui. Ia juga membawa perubahan pada bahagian tab, yang kini hadir dengan paparan visual seumpama Internet Explorer pada Windows 8, dalam memudahkan anda mengurus tab yang sedang dibuka.

Selain pembaharuan daripada prestasi dan antaramuka, Edge kini telah menyokong file .epub untuk membolehkan pengguna membuka eBook secara natif pada Windows 10.


05
Penambahbaikan Cortana

Cortana kini telah dibuka kepada para pembangun untuk mengintegrasikan aplikasi mereka bersama fungsi pembantu maya ini. Ia membolehkan pengguna memberi arahan kepada Cortana untuk mengaktifkan sesuatu fungsi daripada aplikasi pihak ketiga, seperti memberi arahan untuk memainkan sesuatu filem daripada aplikasi Netflix.

Cortana juga kini berada pada “setup screen” Windows 10 ketika anda mula mengaktifkan komputer anda buat kali pertama. Ia akan membantu anda untuk memasukkan akaun dan memilih tetapan awal, seolah-olah ada pembantu yang berada di sisi anda.


06
Lebih kawalan pada Windows Update

Windows 10 kini memberikan lebih kawalan kepada pengguna dalam menguruskan kemaskini yang diberikan. Ia membolehkan pengguna untuk pause sesuatu kemaskini selama 35 hari bagi pengguna Windows 10 Pro, Windows 10 Enterprise, dan Windows 10 Student. Untuk pengguna Windows 10 Home, Windows 10 Creators Update membolehkan anda untuk memilih waktu yang sesuai untuk memasang sesuatu kemaskini selepas proses muat-turun kemaskini di belakang tabir selesai.


07
Kustomisasi

Windows 10 Creators Update turut menambahbaik sokongan kustomasi yang kini lebih mudah untuk diakses oleh pengguna. Antaranya ialah fungsi Theme Management yang kini diletakkan pada ruangan Settings > Personalization > Themes, berbanding perletakkan fungsi ini pada Control Panel. Ia juga membolehkan pengguna menggunakan custom color untuk menukar warna title bar setelah dihadkan untuk warna yang disediakan sahaja pada sebelum ini.

Ia juga kini telah membawa fungsi Live Folders pada aplikasi di Start Menu, setelah hadir pada Windows Phone 8.1 Update 1.


08
Night Light

Kemaskini Creators Update turut menawarkan fungsi Night Light dalam membantu untuk mengurangkan cahaya biru pada skrin. Melaluinya, ia membuatkan anda lebih bersedia untuk tidur sebaik sahaja fungsi ini diaktifkan.

Untuk mengaktifkannya, anda boleh pergi ke halaman Settings > System > Display > Night Light Settings. Ia juga membolehkan anda mengubah kawalan warna dan tetapan masa untuk fungsi ini diaktifkan.


09
Dynamic Lock

Windows 10 kini membolehkan komputer dikunci secara automatik apabila pengguna tidak berhampiran dengan komputer tersebut. Perkara ini dijayakan melalui telefon atau fitness band yang telah “di-pair” melalui Bluetooth, jadi apabila anda berada di luar kawasan lingkungan Bluetooth selepas 30 saat, Windows akan mengunci komputer anda dengan serta merta.

Fungsi ini boleh diaktifkan melalui Settings > Accounts > Sign-in Options.


10
Virtual Touchpad

Fungsi on-screen keyboard telah mula wujud sejak zaman Windows ME dan Windows 10 kini telah menawarkan fungsi virtual touchpad buat pertama kalinya. Ia memudahkan mengakses kursor pada skrin sentuh walaupun peranti tidak hadir atau dipasangkan dengan sebarang aksesori yang mempunyai sokongan touchpad fizikal. Dengan fungsi ini juga, anda boleh menjadikan tablet yang dihubungkan kepada external monitor sebagai touchpad untuk mengawal kursor pada paparan monitor tersebut.

Fungsi ini boleh diaktifkan dengan membuat right-click (atau hold) pada taskbar > dan klik pada “Show touchpad button”.


Pembaharuan Lain

Pembelian eBook pada Windows Store

Dengan sokongan .epub pada Microsoft Edge, Microsoft turut mula menawarkan jualan eBook melalui Windows Store, namun ditawarkan untuk pengguna di U.S terlebih dahulu.

Penambahbaikan antaramuka Windows Defender

Antaramuka Windows Defender pada Windows 10 sebelum ini masih mengekalkan antaramuka aplikasi daripada Windows Vista yang mana dilihat agak ditelan zaman. Melalui Creators Update, ia telah dibina berasaskan aplikasi Universal Windows Platform (UWP) yang lebih mengikuti design language Windows 10.

Windows Overlay Mode

Kemaskini ini turut membawa fungsi seumpama Picture-in-Picture (PiP) yang membolehkan video dipaparkan secara terapung di dalam paparan window kecil.

Kawalan Pemasangan Aplikasi

Windows 10 Creators Update turut membenarkan pengguna memilih jenis pemasangan aplikasi yang dibenarkan sahaja untuk dipasang pada sesuatu peranti. Ia terdiri daripada tiga pilihan, menerusi “Allow apps from anywhere”, “Warn me before installing apps from outside”, dan “Allow apps from the Store only”.


Pemasangan

Windows 10 Creators Update boleh dimuat-turun bermula hari ini, yang mana boleh menyemaknya pada halaman Settings > Update & security > dan klik pada “Check for updates”. Sekiranya anda tidak menerima sebarang paparan yang berkaitan dengan kemaskini ini, anda boleh menggunakan Update Assistant untuk mengemaskini peranti anda ke Windows 10 Creators Update.

Bagi anda yang mahir dengan pemasangan Windows 10 daripada mula, anda juga boleh menggunakan kaedah pemasangan melalui fail ISO yang boleh dimuat-turun secara rasmi daripada halaman Microsoft.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd