Kad grafik NVIDIA GTX 1060 merupakan sebuah kad grafik yang sangat berbaloi dibeli jika anda seorang yang hanya mahu bermain permainan komputer pada resolusi Full HD dengan lancar. Kad untuk siri grafik ini juga hadir dengan jumlah memori 6GB dan 3GB, dan harganya sedikit berlainan mengikut konfigurasi memori ini.
Terkini, ASUS baru sahaja mengumumkan kad grafik GTX 1060 terbaru mereka, yang dinamakan ASUS GTX 1060 3GB Phoenix, yang dibina khusus untuk mereka yang ingin bermain permainan video pada resolusi Full HD dan tidak terlalu risau mengenai tetapan grafik dan sebagainya.
Untuk menyejukkan kad grafik ini, sebuah teras tembaga mengalirkan haba daripada cip pemprosesan grafik kepada blok aluminum dengan sesirip berlingkar, yang kemudiannya akan disejukkan menggunakan satu kipas bebola galas 80mm ke udara.
GPU kad grafik GTX 1060 3GB Phoenix ini mempunyai kelajuan asas 1506MHz dan Boost Clock 1708MHz, dan hanya memerlukan satu palam 6-pin PCIe untuk mengaktifkannya. Dari segi I/O pula, kad ini mempunyai dua port HDMI, dua port DisplayPort dan satu port DVI.
Buat masa ini, pihak ASUS masih lagi belum memperkenalkan harganya, tetapi menurut jurucakap ASUS Malaysia, kad grafik ini ada kemungkinan besar akan hadir di pasaran Malaysia menjelang suku kedua tahun ini bagi gamers yang mahukan sebuah kad grafik yang cukup berkuasa, tetapi tidak mengoyakkan jumlah baki akaun bank mereka.