Agak sukar sebenarnya untuk memulakan channel Youtube sendiri kerana ia memerlukan keberanian, kebijaksaan pengurusan masa, dan kreativiti untuk menghasilkan sesuatu video. Tetapi hari ini pada acara #GenYTMY yang dianjurkan oleh Google Malaysia, 4 barisan personaliti digital telah dijemput untuk berkongsi bagaimana mereka mula menceburi bidang penghasilan video di Youtube.
Mereka terdiri daripada Nisa Kay, Nisha Ezzati (nishxnish), Farhanah Firdaus (faafirds), dan Cupcake Aisyah yang sedia mempunyai channel tersendiri dengan bilangan subscribers melebihi 10,000 jumlah pengikut. Kebanyakan mereka melakukannya secara santai, melalui perkongsian vlogging, tips, dan tutorial yang sedia mempunyai peminatnya tersendiri.
Agak menarik kisah mereka bermula adalah hasil minat mereka kepada ‘Youtuber’ lain, sekaligus menjadikan mereka terinspirasi untuk menghasilkan video di Youtube. Ada juga di antara mereka menjadi Youtube Creator kerana hasil daripada dorongan rakan dan keluarga, atas personaliti yang menarik, mesra, dan unik.
Semasa menghasilkan video di Youtube, mereka berkongsi beberapa cabaran yang dihadapi dalam menghasilan sesuatu video. Faktor yang di hadapi merangkumi cabaran menguruskan masa, terutama dalam melakukan suntingan video yang mempunyai durasi yang agak lama. Faktor lain seperti persekitaran yang tidak sedia untuk rakaman video, turut memberikan masalah ‘delay’ kepada creator yang mempunyai masa penghasilan video yang tetap.
Mereka juga berkongsi kepada individu yang ingin memulakan Youtube agar menjadi diri sendiri dalam mendekatkan lagi jurang bersama penonton. Menjadi ‘orang lain’ akan menyukarkan lagi penghasilan video selain memberikan ketidakselesaan kepada penonton.
Mereka juga menekankan untuk jangan mudah tersinggung dengan pengkritik, kerana ia akan membantu untuk meningkatkan lagi penghasilan video yang lebih menarik. Sekiranya keterlaluan, endahkan perkara yang dikritik dan terus menghasilkan karya seperti biasa. Bagi keempat-empat personaliti digital ini, pengkritik adalah individu yang tidak dikenali dan tidak perlu melayani mereka kerana mereka tidak mengenali diri anda di dunia sebenar.
Sebelum mengakhiri perkongsian, kesemua Youtube Creators ini turut menekankan untuk terus menjalin hubungan dengan orang sekeliling terutama rakan-rakan, keluarga, dan penonton sendiri supaya dapat mengekalkan momentum penghasilan video di Youtube. Usaha kecil seperti mengadakan sesi Q&A, giveaway, mungkin dapat membantu untuk menghargai usaha mereka yang sering menyokong anda.
Dengan acara seperti ini, Google dilihat memberi peluang kepada Youtube Creators di Malaysia untuk mengetengahkan mereka disamping mengajak orang ramai untuk menceburi penerbitan video di Youtube. Menjadi Youtube Creators boleh didatangkan dengan pelbagai cara dan gaya, cuma usaha sahaja yang menentukan hala tuju channel Youtube anda untuk tampil ke hadapan.