Carian
Ulasan: ASUS Zenfone 3 Zoom – Telefon Dwi-Kamera Dengan Kapasiti Bateri 5000 mAh
April 20, 2017 Arib Ismail

ASUS Zenfone 3 Zoom
Chipset Qualcomm Snapdragon 625
CPU 8 x Cortex-A53 2.0 GHz
GPU Adreno 506
Memori 4GB RAM
Storan 64GB, microSD sehingga 128GB
Kamera Utama 12MP (25mm OIS f/1.7) + 12MP (59mm f/2.8),
zoom optikal 2.3x, rakaman 4K
Kamera Hadapan 13MP, f/2.0, rakaman 1080p
Skrin 5.5-inci AMOLED, 1080×1920 piksel, 401 ppi
Sambungan 4G LTE, WiFi b/g/n/ac, A-GPS, Bluetooth 4.2
Sistem Android 6.0 Marshmallow + Zen UI
Bateri 5000 mAh, tidak boleh dikeluarkan
Berat & Ketebalan 170g, 8mm

Penggunaan teknologi dwi-kamera boleh dikatakan menjadi trend pada akhir-akhir ini, yang membolehkan peranti memberikan fungsi fotografi yang lebih menarik berbanding penggunaan satu kamera. Ia hadir dengan pelbagai teknik untuk teknologi pengimejan dwi-kamera ini, seperti kehadiran wide-angle lens pada sensor kedua, seperti yang hadir pada LG G6. Gabungan sensor RGB dan sensor monokrom juga menjadi pilihan teknik pada dwi-kamera Huawei P9/P10, dalam memberikan pencahayaan dan warna yang lebih sekata. Satu lagi teknik yang popular adalah kehadiran sensor dengan kebolehan zoom optikal, yang mana dipopularkan oleh iPhone 7 Plus.

ASUS sebelum ini telah mengeluarkan peranti yang memfokuskan kepada keupayaan zoom, menerusi ASUS Zenfone Zoom dengan kebolehan zoom sebanyak 3x. Keupayaan seperti ini memerlukan rekaan kamera yang sedikit tebal, membawa ASUS untuk beralih kepada solusi penggambaran zoom optikal yang lebih memenuhi keperluan pasaran semasa. Dengan trend dwi-kamera yang semakin mendapat tempat, ASUS membawa teknik yang hadir pada iPhone 7 Plus, dengan menyediakan keupayaan zoom optikal sebanyak 2.3x.

ASUS Zenfone 3 Zoom juga telah beralih kepada penggunaan cip Snapdragon setelah cip berasaskan Intel tidak lagi difokuskan untuk digunakan pada telefon pintar. Ia terdapat sedikit isu, terutama melibatkan prestasi dan kompatibiliti akibat perbezaan architecture pada cip pemprosesan ini. Jadi dengan penggunaan cip Snapdragon ini, ia menawarkan keupayaan prestasi yang lebih pantas disamping memberikan penjimatan tenaga melalui binaan cip 14nm.

Dengan harga RM2099, ia menimbulkan pelbagai reaksi apabila dinilai dari segi spesikasinya. Ia hadir dengan skrin 5.5-inci berasaskan AMOLED, cip pemprosesan Snapdragon 625, memori 4GB RAM, dan storan dalaman 64GB. Tetapi dengan penyertaan dwi-kamera dengan kebolehan zoom optikal ini, harganya mungkin ada sesuatu yang masih boleh dipertimbangkan apabila dinilai dari sudut penggambarannya.

Rekabentuk

Rekabentuk Zenfone 3 Zoom masih mengekalkan gaya rekaan Zenfone 3 sebelum ini terutama pada bahagian hadapan peranti ini. Ia masih menawarkan butang kapasitif di bahagian bawah skrin tanpa sebarang sokongan cahaya. Seperti siri Zenfone 3 yang lain, ia juga masih membawakan rekaan kaca 2.5D untuk panel hadapan peranti ini bagi memberikan penampilan yang lebih menarik. Ia juga hadir dengan lampu notifikasi bersebelahan dengan earpiece untuk memberi isyarat kehadiran sesuatu notifikasi.

Rekaan pada bahagian belakang peranti pula dipengaruhi dengan rekaan Zenfone 3 Max yang membawakan rekaan berasaskan logam. Ia tidak seperti Zenfone 3 versi biasa yang mana hadir dengan binaan kaca pada bahagian belakang. Pada Zenfone 3 Zoom ini, bahagian belakang peranti ini dihiasi dengan penampilan dwi-kamera 12MP bersama lampu flash berkembar serta sokongan pemfokusan laser. Kedudukan pengimbas cap jari juga diletakkan pada bahagian belakang ini, seperti yang ditawarkan pada siri Zenfone 3 sebelum ini.

Di bahagian bawah peranti pula menempatkan sambungan earphone jack 3.5mm, satu saluran mikrofon, bersama-sama dengan sambungan USB-C untuk pengecasan dan sambungan data. Pembesar suara peranti ini juga diletakkan pada bahagian bawah peranti, yang mana memberikan kelantangan bunyi yang standard melalui pembesar suara berasaskan mono. Ia juga menyokong Hi-Res Audio yang membolehkan anda memainkan fail loseless audio 24-bit/192kHz terus daripada peranti ini.

Seperti keseluruhan peranti Zenfone 3 yang lain, ia tidak didatangkan dengan IR blaster pada bahagian atas peranti sekaligus tidak membenarkan anda untuk menjadikan peranti ini sebagai alat kawalan jauh. Pada bahagian sisi kiri peranti menempatkan slot sim berasaskan hibrid, yang mana dikongsi bersama kad microSD pada ruang sim kedua. Pada bahagian sisi kanan peranti pula menempatkan butang pelarasan suara dan butang kuasa yang mana lokasinya amat mudah untuk dicapai.

Pengimbas cap jari yang hadir pada Zenfone 3 Zoom ini menawarkan prestasi yang menyerupai pada siri Zenfone 3 sebelum ini, iaitu sepantas 0.2 saat. Kadar tindak balasnya masih boleh dikatakan agak baik, yang mana memberikan kadar sekitar 80% untuk menyahkunci peranti ini. Dari segi fungsi, ia memberikan pengguna kebolehan untuk menjawab panggilan, melancarkan kamera, dan mengambil gambar selfie dengan hanya menyentuh pengimbas cap jari ini.

Sebagai peranti yang memfokuskan kepada fotografi, Zenfone 3 Zoom turut dijana dengan panel berasaskan AMOLED untuk kecerahan dan warna parapan yang lebih terperinci. Ia hadir dengan skrin sebesar 5.5-inci pada resolusi 1080p yang mana masih tajam untuk penglihatan mata melalui ketumpatan piksel sekitar 401 ppi. Kualiti panel berasaskan AMOLED sememangnya amat cemerlang berbanding panel IPS LCD, terutama dari segi mendapan warna dan ketajaman paparan yang dilihat lebih jitu. Bagi melindungi paparan ini, ia dilindungi dengan kaca Gorilla Glass 5 bagi mengurangkan retakan dan kesan calar dengan lebih baik.

Zenfone 3 Zoom (ZE553KL) di Malaysia telah didatangkan dengan satu pilihan storan sahaja, iaitu versi 64GB dengan sokongan memori 4GB RAM. Sekiranya anda menggunakan peranti ini untuk penggambaran RAW atau rakaman 4K, storannya boleh ditingkatkan sehingga 2TB melalui kad microSD. Sokongan storan microSD setinggi 2TB ini telah hadir sejak era peranti LG G3, namun sehingga hari ini, hanya kad setinggi 1TB yang boleh didapati di pasaran. Bercakap mengenai harga jualan Zenfone 3 Zoom ini, harga jualannya pula masih sama seperti Zenfone Zoom versi Intel sebelum ini, yang mana ditawarkan pada harga RM2099.

Sistem

Untuk sistemnya pula, Zenfone 3 Zoom membawakan antaramuka ASUS ZenUI 3.0 yang dijana di atas Android 6.0 Marshmallow. Antaramuka ini telah menjana keseluruhan siri Zenfone 3, termasuk peranti berprestasi tinggi mereka menerusi Zenfone 3 Deluxe. Zenfone 3 Zoom juga bakal membawakan Android 7.0 Nougat pada masa akan datang, cuma tarikh penerimaannnya masih tidak diketahui.

ASUS ZenUI 3.0 menawarkan antaramuka yang ceria, terutama dari segi rekaan ikonnya dan aplikasi yang didatangkan secara terbina. Ia juga menyokong sokongan tema, yang mana membolehkan pengguna memasang icon pack seperti yang disokong pada launcher pihak ketiga yang lain. Antaramuka homescreen ZenUI ini juga masih mengekalkan app drawer untuk memastikan paparan homescreen yang lebih kemas.

ZenUI telah didatangkan dengan beberapa fungsi menarik seperti ZenMotion yang membolehkan anda melancarkan sesuatu fungsi atau aplikasi dengan hanya menggunakan gesture. Ia juga menyediakan fungsi Kid Mode yang membolehkan peranti memaparkan antaramuka yang direka untuk kanak-kanak. Bagi memastikan kelancaran peranti, Zenfone 3 Zoom turut dibekalkan dengan Mobile Manager iaitu pusat sehenti untuk pengurusan storan, memori, dan aplikasi.

Satu perkara yang masih tidak diatasi oleh ASUS adalah kehadiran bloatware pada peranti ini yang mana masih hadir dalam jumlah yang agak besar. Ia termasuk penyertaan aplikasi terbina ASUS seperti Photo Collage, MiniMovie, dan ZenCircle yang mana mungkin tidak digunakan oleh kebanyakan pengguna. Aplikasi pihak ketiga yang lain turut hadir seperti Facebook, Messenger, Instagram, dan WebStorage yang telah tersedia di dalam peranti ini.

Prestasi

Zenfone Zoom sebelum ini menggunakan Intel Atom, iaitu cip dengan rekaan x86 yang dilihat tidak dioptimasikan dengan sempurna untuk menjalankan aplikasi berasaskan ARM. Ia masih pantas, cuma dengan perbezaan architecture ini telah menyebabkan isu yang melibatkan prestasi dan kompatibiliti pada aplikasi masih timbul. Jadi ASUS telah beralih kepada penggunaan cip Snapdragon yang terkenal dengan penghasilan cip ARM yang lebih menawarkan kelancaran dan cip lebih efisien.

Jika dibandingkan pada AnTuTu Benchmark, cip pemprosesan Snapdragon 625 berprestasi lebih pantas berbanding Intel Atom Z3590 dengan perbezaan mata sekitar 15,366. Intel Atom Z3590 pada dahulunya telah mencatatkan mata 47,257 berbanding Snapdragon 625 yang kini mencatatkan mata 62,623. Ia berprestasi menyerupai cip Exynos 7880 pada Galaxy A5 (2017) yang mana mencatatkan mata sekitar 60,427. Untuk prestasi di dunia sebenar, ia masih amat pantas, yang mana meninggalkan prestasi cip berkelas flagship seperti Snapdragon 801/808.

Cip pemprosesan Snapdragon 625 telah hadir pada kebanyakan peranti seperti Moto Z Play, BlackBerry KEYone, dan ASUS Zenfone 3 sendiri yang telah diperkenalkan pada tahun lalu. Cip ini mampu memainkan permainan terkini dengan lancar seperti Modern Combat 5, Dream League Soccer 2017, dan Asphalt 8 dengan kadar frame rate yang konsisten. Ia juga dapat menahan aplikasi di belakang tabir dengan begitu cekap, melalui penggunaan memori 4GB RAM, sekaligus mengurangkan aplikasi daripada direload apabila diakses semula.

Kamera

ASUS Zenfone 3 Zoom membawakan teknik pengimejan dwi-kamera berasaskan zoom optikal, dengan menawarkan sensor utama 12MP f1.7 25mm dan sensor kedua 12MP 59mm. Sensor utama mempunyai sokongan OIS 4-paksi dan EIS 3-paksi bagi mengurangkan gegaran pada gambar mahupun ketika mengambil video. Ia juga hadir sistem TriTech+ Autofocus, yang merangkumi teknologi Dual Pixel PDAF, Subject Tracking AF, dan Laser AF generasi kedua untuk pemfokusan pantas.

Hasil penggambaran Zenfone 3 Zoom dilihat memberikan hasil keperincian yang jauh lebih baik berbanding siri Zenfone 3 yang lain, dengan penawaran imej yang lebih tajam. Saya cukup suka dengan kawalan dynamic range kamera peranti ini yang dilihat mampu memberikan pencahayaan lebih sekata. Kawalan warnanya juga dilihat lebih jauh lebih baik berbanding Zenfone 3, yang mana kini tidak terlalu warm dan tidak terlalu kusam.

Penggambaran malamnya juga ditingkatkan dengan sokongan aperture sebesar f/1.7, yang mana mampu memerangkap cahaya dengan lebih lagi untuk penggambaran bercahaya rendah. Hasilnya, penggambaran malam pada Zenfone 3 Zoom ini memberikan hasil ketajaman dan pencahayaan yang cukup konsisten walaupun menggunakan mod auto. Dengan kehadiran OIS dan EIS, ia juga mampu mengambil gambar slow shutter dengan begitu baik walaupun ketiadaan tripod di sisi pengguna.

Untuk keupayaan zoom pula, Zenfone 3 Zoom memberikan zoom optikal sebanyak 2.3x dan zoom digital sebanyak 12x. Seperti yang hadir iPhone 7 Plus, ia hadir dengan indikator zoom pada aplikasi kamera, memudahkan pengguna untuk memerhati angka zoom yang sedang digunakan. Prestasinya agak mengujakan bagi saya untuk kebolehan zoom optikal ini, yang mana cukup tajam dengan perwarnaan yang lebih neutral berbanding sensor utama. Cuma apabila zoom ditingkatkan melebihi 2.3x, kualitinya telah dikurangkan dengan begitu drastik dengan penggambaran yang cukup soft dan pixelated.

Bercakap mengenai aplikasi kamera yang dibekalkan pada Zenfone 3 Zoom ini, ia mempunyai penawaran fungsi yang cukup besar seperti kehadiran fungsi HDR Pro, Super Resolution, dan kebolehan menghasilkan kesan bokeh di belakang objek melalui fungsi Depth of Field. Ia juga hadir dengan fungsi GIF Animation, Miniature, dan Panorama untuk dipadankan pada keperluan fotografi anda. Satu fungsi yang dilihat menarik adalah fungsi Time Rewind dan Smart Remove yang membolehkan anda memilih gambar yang terbaik dan menghilangkan objek yang tidak dikehendaki pada gambar anda.

Zenfone 3 Zoom juga menawarkan fungsi kawalan manual yang cukup menyeluruh, seperti mana yang ditawarkan pada peranti Huawei P10. Ia membenarkan pengguna menetapkan fokus, Shutter Speed (1/16000-32 saat), ISO (50-12800), EV, dan kawalan White Balance. Ia juga hadir dengan fungsi penggambaran RAW dan fungsi gradienter bagi membantu anda memerhati sudut kecondongan ketika mengambil gambar.

Seperti Zenfone 3 sebelum ini, Zenfone 3 Zoom juga membawakan rakaman video 4K dengan kadar 30fps. Ia juga membenarkan pengguna memilih resolusi rakaman 1080p dengan kadar 30fps ataupun 60fps untuk hasil paparan video yang lebih lancar. Hasil penggambaran videonya walaupun agak biasa, tidak terlalu tajam, dan sering mempunyai masalah penukaran cahaya yang ketara. Walau bagaimanapun, tahap penstabilan videonya cukup dipuji atas memberikan hasil video yang stabil dan tidak terlalu bergegar.

Bateri

Selain daripada kamera, Zenfone 3 Zoom juga boleh dikatakan antara peranti yang memfokuskan kepada bateri melalui kehadiran bateri berkapasiti setinggi 5000 mAh. Ia lebih besar berbanding Zenfone 3 Max yang mana didatangkan dengan kapasiti bateri 4100 mAh pada rekaan dan berat peranti yang hampir sama. Sebagai perbandingan, Zenfone 3 Zoom mempunyai berat dan kenipisan peranti sebesar 170g / 8mm berbanding 175g / 8.3mm pada Zenfone 3 Max.

Apabila dipadankan dengan cip Snapdragon 625, Zenfone 3 Zoom cukup memberikan ketahanan bateri yang cukup lama, dengan hasil bacaan SoT melebihi 10 jam. Dengan kapasiti bateri sebesar ini, ia mampu mencatatkan SoT sekitar 13 jam 37 minit dengan masa bertahan sekitar 22 jam. Bacaan ini telah meninggalkan peranti yang mempunyai kapasiti 5000 mAh, iaitu Galaxy A9 Pro dengan bacaan SoT 11 jam 28 minit. Perkara ini mungkin dibantu dengan skrin Zenfone 3 Zoom lebih kecil, iaitu pada saiz 5.5-inci, berbanding Galaxy A9 Pro pada saiz 6.0-inci.

Masa pengecasan peranti ini walau bagaimanapun masih boleh dikatakan agak lama, seperti yang dihadapi pada Zenfone 3 Max. Walaupun cip pemprosesan Snapdragon 625 menyokong pengecasan pantas Quick Charge 3.0, ASUS dilihat menggunakan teknik pengecasan 5V/2A 10W sebagai medium pengecasan peranti ini. Hasilnya, ia mengambil masa melebihi 3 jam untuk mengecas peranti ini sehingga penuh.

Rumusan

Zenfone 3 Zoom dilihat mensasarkan kepada pengguna yang ingin mendapatkan preranti dengan keupayaan dwi-kamera dengan kebolehan zoom optikal, tetapi pada harga yang lebih berpatutan. Telefon dwi-kamera dengan kebolehan zoom optikal ini tidak banyak di pasaran, jadi ia dilihat antara penawaran yang berpatutan sekiranya dinilai dari segi teknologi kameranya. Ia juga mengekalkan momentum Zenfone Zoom sebelum ini dengan penyertaan fungsi kamera yang menyeluruh, sangat sesuai untuk digunakan bagi penggemar fotografi.

Selain daripada kamera, Zenfone 3 Zoom dilihat cemerlang dari segi baterinya yang mana mampu mencapai bacaan SoT sekitar 13 jam untuk penggunaan selama 22 jam. Ia juga membawakan paparan yang cukup terang berbanding Zenfone 3, yang mana kini dijana panel berasaskan AMOLED. Begitu juga dari segi prestasinya, ia mampu menawarkan prestasi harian yang pantas dan efisien melalui padanan cip Snapdragon 625 bersama memori 4GB RAM.

Pro
  • Didatangkan dengan prestasi kamera terbaik untuk peranti ASUS.
  • Hadir dengan masa ketahanan bateri yang cukup tinggi.
  • Snapdragon 625 masih lancar untuk permainan dan penggunaan harian.
  • Menawarkan rekaan elegan, tidak tebal, dan tidak berat untuk peranti berkapasiti 5000 mAh.
  • Pengimbas cap jari mampu menyahkunci peranti dengan pantas.
  • Bakal menerima kemaskini Android 7.0 Nougat.
Kontra
  • Tidak mempunyai NFC dan IR Blaster.
  • Kualiti rakaman video kurang memuaskan.
  • Tidak hadir dengan slot sim & microSD secara berasingan.

Cuma antara perkara yang mengisi kekurangan peranti ini adalah dari segi ketiadaan fungsi NFC dan IR blaster yang sepatutnya perlu didatangkan pada harga peranti melebihi RM2000. Kualiti rakaman videonya juga masih perlu dibaiki, terutama dari segi kawalan cahaya dan ketajaman pada video yang diambil. Akhir sekali adalah dari segi kehadiran slot sim berasaskan hibrid, sekaligus tidak membenarkan anda menggunakan kedua-dua sim dan kad microSD secara serentak.

Dengan harga RM2099, ia dilihat agak mahal apabila dinilai dari segi spesifikasinya. Tetapi sekiranya anda menghargai teknologi kamera yang hadir pada peranti ini, ia memberi nilai yang cukup hebat terutama dari segi hasil dan fungsi penggambarannya. Selain kamera, kekuatan peranti ini terletak pada kapasiti baterinya yang tinggi tanpa perlu dibebankan dengan rekaan yang tebal dan berat. Pendek kata, padanan dwi-kamera dan bateri berkapasiti 5000 mAh ini memberikan kepuasan fotografi yang lebih lama apabila anda memiliki ASUS Zenfone 3 Zoom ini.

Komen