Carian
GALAX Memperkenalkan GALAX GTX 1070 Katana – Kad Grafik Satu Slot Berkuasa Tinggi
April 14, 2017 Nazrin

Kebiasaannya, kad-kad grafik yang berkuasa tinggi seperti NVIDIA GTX 1080 Ti dan sebagainya akan menggunakan dua ataupun tiga slot pengembangan di belakang cangkerang komputer, dan jika anda ingin membina sebuah PC yang kecil tapi berkuasa, anda tidak mempunyai begitu banyak pilihan.

Untuk mengisi kekosongan ini, GALAX baru sahaja mengumumkan kad grafik GALAX GTX 1070 Katana, sebuah kad berdasarkan NVIDIA GTX 1070 yang hanya menggunakan satu slot pengembangan, sesuai untuk mereka yang ingin membina komputer bersaiz kecil tetapi berkuasa tinggi.

Kad grafik ini menggunakan penyejuk RazorX, yang merupakan gabungan blok penyejuk sesirip tembaga, dengan kipas vapor chamber yang mengalirkan haba daripada cip pemprosesan grafik. Penyejuk ini begitu nipis, sehingga ketebalan keseluruhan kad ini hanyalah 16mm, dan ini membuatkan kad GALAX GTX 1070 Katana ini salah satu kad berkuasa tinggi yang paling nipis di pasaran.

Kerangka kad GTX 1070 Katana ini juga hadir dengan pelekat amaran untuk memberitahu pengguna bahawa bahagian tersebut akan menjadi agak panas, dan menasihati pengguna supaya tidak memegangnya apabila ia sedang digunakan.

Dari segi spesifikasi pula, kad ini dikuasakan dengan satu palam 8-pin PCIe, dan mempunyai satu port HDMI, DisplayPort dan DVI untuk output paparan skrin. Dalam pada itu, kad grafik ini mempunyai kelajuan asas 1518MHz dan kelajuan Boost Clock 1708MHz dengan memori GDDR5 sebanyak 8GB. Buat masa ini, harga kad grafik GALAX GTX 1070 Katana ini masih belum diumumkan.

Komen