Ulasan: BeatsX – Alternatif Terbaik Apple AirPods

Ulasan: BeatsX – Alternatif Terbaik Apple AirPods

Diterbitkan pada Apr 14, 2017 oleh .

Satu perkara yang menarik perhatian saya sewaktu pelancaran Apple AirPods adalah kehadiran cip Apple W1 yang dibina bersama headset ini. Dengan cip ini, Apple memudahkan pengguna melalui tiga perkara;

  • pengguna dapat menyambungkan headset ini dengan beberapa peranti Apple terkini secara pantas.
  • mendapatkan kualiti sambungan dan penstriman yang konsisten.
  • memberikan jangka hayat bateri yang lebih lama berbanding bluetooth headset yang sedia ada di pasaran.

Tetapi dengan rekaan yang sedikit janggal pada Apple AirPods, saya tidak rasa saya akan berasa selesa untuk memakainya terutama di dalam tren dan di tempat-tempat awam. Ia terlalu unik, dan memakainya pastinya akan menarik perhatian orang sekeliling untuk memerhatikan alat pendengaran yang sedang dipakai pada telinga.

Oleh itu, salah satu headset yang mempunyai teknologi yang dibawa oleh Apple AirPods dengan harga sekelasnya adalah BeatsX — yang dilihat lebih mesra untuk dipakai di khalayak ramai. Ia juga hadir dengan rekaan yang tahan lasak, sesuai untuk sejumlah besar aktiviti terutama aktiviti yang melibatkan kecergasan.

Apa di dalam kotak

BeatsX hadir di dalam kotak standard Beats (dan kebanyakan headset daripada Apple) yang mempunyai paparan lutsinar pada bahagian hadapan. Apabila dibuka, anda akan dapati BeatsX ini terlebih dahulu, dan di bahagian bawahnya terdapat pilihan dua pasang eartip dan wingtip untuk dipadankan pada headset ini. Kedua-dua alat ini membantu anda untuk mengekalkan kedudukan BeatsX ini di telinga anda, terutama ketika melakukan aktiviti lasak.

Apabila diterbalikkan bahagian tengah kotak ini, anda akan dapati aksesori seperti case turut tersedia bersama satu kabel lightning untuk mengecas Beats X ini. Di dalam kotak ini juga menyertakan beberapa manual, waranti, sticker dan satu kupon langganan Apple Music selama 3 bulan secara percuma untuk setiap pembelian peranti ini.

Penyambungan pantas

Bagi anda yang menggunakan iPhone dengan iOS 10 ke atas, Mac dengan macOS Sierra dan ke atas, dan Apple Watch dengan watchOS 3 dan ke atas, Beats X akan dihubungkan ke peranti anda secara automatik, sebaik sahaja anda menekan butang on pada headset ini. Jadi anda tidak perlu lagi nak pergi ke halaman settings satu per satu, seperti yang diperlukan ketika menghubungkan bluetooth headset tanpa cip Apple W1.

Bagi anda yang tertanya-tanya mengenai sambungan peranti di luar Apple, Beats X turut menyokong peranti selain daripada Apple, asalkan peranti tersebut mempunyai sokongan Bluetooth 4.0 dan ke atas.

Pemakaian

Pengalaman memakai Beats X ini bagi saya amat mudah dipakai, terutama ketika mula menggunakannya. Ia tidak seperti Jabra Sport Pulse yang pernah saya ulas sebelum ini, yang mana memerlukan masa sekitar 5-10 minit sebelum mendapat ‘rentak’ pemakaian yang betul di telinga saya.

Ketika memakainya, saya suka dengan rekaan ergonomiknya yang betul-betul selesa, sekaligus tidak memberi sebaran isu walaupun memakainya pada tempoh masa yang agak lama. Pilihan saiz eartip dan wingtip yang disediakan juga mempunyai saiz yang sangat sesuai untuk telinga saya, menyebabkan ia sentiasa kekal di telinga saya. Ia juga tidak mudah terjatuh daripada telinga apabila menggunakannya sewaktu memainkan permainan yang memerlukan pergerakan yang intensif.

Kualiti audio

Pertama kali meletakkan Beats X ini di telinga dan mendengarnya buat kali pertama, kualiti audionya cukup memberikan ekspresi yang mengujakan untuk saya. Mungkin saya terlalu lama menggunakan Jabra Halo yang mempunyai kadar bass yang tidak terlalu tinggi untuk pendengaran harian saya.

Ketika mula memainkan lagu kegemaran saya, saya dapati audionya cukup seimbang terutama keperincian bunyi clarity dan iringan bass yang sekata. Mendengar alunan suara dan petikan gitar akustik cukup jelas didengari, begitu juga tampilan bunyi bass daripada muzik EDM yang begitu memukau di telinga saya.

Saya juga suka dengan kemampuan headset ini untuk menyembunyikan bunyi luaran dengan efektif, membolehkan saya untuk mendengar muzik tanpa sebarang gangguan. Ia sebaik Bluetooth headset yang pernah saya ulas daripada Jabra, yang sentiasa memberikan kadar noise isolation yang baik untuk menghalang bunyi daripada luar.

Cuma satu perkara sahaja yang tidak didatangkan pada BeatsX ini berbanding Apple AirPods, iaitu kebolehan untuk pause sesuatu muzik ketika menanggalkan headset ini daripada telinga saya. Tetapi dengan butang fizikal yang mudah dicapai, ia tidak menjadi isu terutama pengguna yang sentiasa menggunakan headset yang mempunyai butang kawalan fizikal sebelum ini.

Seperkara lagi, BeatsX juga diintegrasikan dengan Siri, jadi anda boleh menggunakan butang kawalan fizikal headset ini untuk mengaktifkan Siri. Ia membolehkan anda memberi beberapa arahan terus daripada headset ini, seperti contoh memainkan sesuatu lagu daripada telefon anda.

Bateri

Dari segi keupayaan bateri, saya boleh kata jangka hayat headset ini mempunyai masa ketahanan yang cukup baik atas kemampuan memainkan muzik sekitar 8-9 jam. Kebanyakan Bluetooth headset di pasaran selalunya mempunyai masa bertahan 4-6 jam, jadi dengan masa yang dicatatkan BeatsX dilihat begitu memadai dengan ketahanannya.

Ia juga mempunyai teknologi pengecasan pantas FastFuel, yang memberikan masa memainkan muzik selama 2 jam dengan masa pengecasan hanya 5 minit sahaja. Masa pengecasan penuhnya juga tidak mengambil masa yang lama, yang mana memerlukan masa sekitar 45 minit untuk mengecas penuh headset ini melalui sambungan kabel Lightning.

Rumusan

Harganya mungkin tidak disasarkan untuk kebanyakan pengguna, tetapi lebih disasarkan untuk pengguna yang sedia menggunakan Bluetooth headset berjenama atau pengguna Beats sendiri. Dengan harga RM600, ia boleh dikatakan bersaing dengan Apple AirPods sendiri yang mana ditawarkan pada harga RM849.

Pro
  • Hadir dengan cip Apple W1.
  • Mempunyai masa ketahanan bateri yang lama.
  • Didatangkan dengan pengecasan pantas.
  • Menawarkan rekaan tahan lasak.
  • Didatangkan dengan audio yang cukup seimbang.
  • Hadir dengan langganan Apple Music percuma selama 3 bulan.
Kontra
  • Rekaan wayar agak panjang.

Sekiranya anda mahu merasai pengalaman headset dengan cip Apple W1, BeatsX adalah penawaran yang paling berpatutan yang anda boleh dapati pada saat ini. Ia hadir dengan bunyi yang cukup seimbang, jangka hayat bateri yang lama dan teknologi pengecasan pantas yang pastinya memenuhi keperluan audio anda.


TIPS & ULASAN