Cooler Master CM 590 III – Kerangka PC Dengan Rekaan Ringkas Dan Klasik

Cooler Master CM 590 III – Kerangka PC Dengan Rekaan Ringkas Dan Klasik

Diterbitkan pada Apr 17, 2017 oleh .

Baru-baru ini, Cooler Master hadir dengan beberapa rekabentuk kerangka dan menara komputer yang baru, termasuklah Cooler Master MasterCase Maker 5t dan juga MasterCase Maker 6 yang modular, dan membenarkan pengguna mengubahsuai kerangka tersebut mengikut kehendak mereka.

Bagi mereka yang mahukan kerangka yang ringkas, Cooler Master hadir dengan casis Cooler Master CM 590 III yang direka berdasarkan kerangka lagenda Cooler Master CM690. Ia mempunyai ruang yang cukup besar untuk memuatkan kad grafik sepanjang 409mm, enam kipas 120/140mm dan radiator sebesar 280mm jika anda ingin menyejukkan komponen-komponen anda dengan penyejuk cecair.

Untuk menyenangkan pembersihan dan penaik-tarafan PC, Kerangka CM 590 III juga mempunyai panel tepi tanpa-skru yang boleh dibuka dengan mudah, dan juga penapis debu yang mudah dikeluarkan untuk pembersihan pantas.

Bagi mereka yang menggunakan cakera keras dan SSD yang banyak, CM 590 III ini mempunyai empat dulang HDD yang juga boleh digunakan untuk meletakkan SSD. Terdapat juga beberapa dulang yang lebih besar di bahagian atas yang boleh memuatkan pemacu DVD ataupun unit pembaca informasi PC dan sebagainya.

Kerangka PC Cooler Master CM 590 III ini sudah boleh dibeli di kedai-kedai PC di seluruh Malaysia untuk harga mampu-milik RM 279, dan akan hadir dalam warna hitam dan putih.


TIPS & ULASAN