Tencent Dijangka Memperkenalkan Pesaing Steam Mereka Pada Peringkat Global

Tencent Dijangka Memperkenalkan Pesaing Steam Mereka Pada Peringkat Global

Diterbitkan pada Apr 17, 2017 oleh .

Tencent merupakan salah satu nama yang tidak asing untuk pengguna di rantau Asia, terutamanya melalui penawaran seperti WeChat dan lain-lain. Tencent juga turut memfokuskan kepada kandungan permainan video melalui pengambil-alihan Supercell yang memiliki Clash of Clans, selain juga merupakan pemilik untuk permainan League of Legends.

Disamping pelbagai penawaran ini, Tencent turut memiliki Tencent Game Platform yang menawarkan klien khusus untuk memuat-turun permainan – lebih kurang seperti Steam. Ia sangat popular di China, dan mempunyai sekitar 200 juta pengguna di sana.

Tencent WeGame

Kini, dalam usaha untuk memperluaskan penawaran ke peringkat global, Tencent telah mula penjenamaan semula dan pemasaran platform berkenaan dengan lebih drastik. Pertamanya, ia akan dijenamakan semula kepada WeGame, dan kemudiannya ia akan ditawarkan pada peringkat global.

Melalui WeGame, Tencent dilihat akan bekerjasama dengan pelbagai penerbit permainan untuk mempromosikan dan memasarkan permainan terbitan mereka – selain memudahkan pengguna untuk mendapatkannya dengan mudah melalui satu platform.

Dengan ke arah global ini, semestinya ia secara tidak langsung akan memberi persaingan sihat kepada Steam – yang mana baru-baru ini turut disertai oleh Twitch melalui penawaran permainan mereka.


TIPS & ULASAN