Cari @ Amanz

Pada pembentangan pendapatan suku pertama 2017 Netflix, syarikat tersebut baru sahaja mengumumkan bahawa mereka tidak mencapai sasaran nombor pelanggan untuk suku tersebut. Buat masa ini, nombor pelanggan mereka dikatakan berada dalam lingkungan 98-99 juta. Walaupun jumlah pelanggan mereka nampak cukup memberangsangkan, bagi Netflix, nombor ini masih tidak mencapai sasaran yang diharapkan.

Pada bulan Januari tahun ini, Netflix dikatakan telah menambah seramai 1.42 juta pelanggan di Amerika, dan 3.53 juta pelanggan di seluruh dunia, dan walaupun ini sudah boleh dikira sangat baik, ia masih berada dibawah jangkaan syarikat tersebut, yang menyatakan mereka telah mensasarkan 1.5 juta pengguna baru domestik, dan 3.7 juta pengguna baru di seluruh dunia.

Akan tetapi, nampaknya Netflix tidak terlalu risau kerana mereka yakin bahawa mereka mampu menambahkan bilangan pelanggan mereka untuk melangkau nombor 100 juta di seluruh dunia. Menurut laporan pembentangan, Netflix menjangka bahawa mereka akan dapat menambah 600000 pelanggan domestik daripada Amerika dan Kanada dan 2.6 juta pelanggan di serata dunia pada suku kedua tahun ini.

Netflix kini juga sedang dalam perancangan untuk melaburkan wang untuk kandungan siri televisyen yang baru, dan dikatakan akan membelanjakan wang sebanyak $1 billion untuk tujuan pemasaran, dan ini tidak termasuk jumlah wang yang mereka akan gunakan untuk mencipta kandungan siri televisyen mereka sendiri, termasuklah siri seperti The Defenders, Chef’s Table, Stranger Things dan sebagainya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd