Mi Box antara penawaran yang termurah dengan sistem operasi Android TV setakat ini, yang mana boleh didapati pada harga RM349. Ia berbeza dengan kebanyakan media player Android yang lain, yang mana menggunakan sistem operasi Android seperti yang hadir pada telefon dan tablet. Tetapi untuk Mi Box ini, ia dijana dengan sistem operasi Android TV iaitu sistem operasi Android yang dioptimasikan untuk paparan televisyen.
Dari segi spesifikasi, ia hadir dengan cip Amlogic S905X-H (4x Cortex-A53 2.0 GHz), memori 2GB RAM, dan storan dalaman 8GB. Ia mempunyai sambungan asas seperti WiFi a/c, audio jack 3.5mm, dan satu port USB 2.0. Ia juga membawakan Bluetooth 4.0 untuk menghubungkan peranti ini ke alat kawalan jauh, telefon, dan juga joystick untuk memainkan permainan.
Namun satu perkara yang tidak didatangkan adalah sokongan slot microSD, jadi anda memerlukan flash drive ataupun external hard drive untuk menambah storan peranti ini. Ia juga hadir dengan satu port USB, jadi sekiranya anda memasang dongle untuk wireless keyboard, anda perlu mencabutnya terlebih dahulu untuk memasang storan luaran.
Apa di dalam kotak
Apabila anda membeli Mi Box ini, ia hadir dengan Mi Box ini sendiri, manual, kabel HDMI, power adapter, dan alat kawalan jauh berasaskan Bluetooth. Namun malangnya, alat kawalan jauh ini tidak disertakan dengan 2x bateri AAA, jadi anda perlu mendapatkan bateri jenis ini secara berasingan.
Kawalan
Alat kawalan Bluetooth yang disediakan mempunyai beberapa input asas seperti D-Pad untuk navigasi, butang home, back, dan butang volume. Sekiranya anda ingin memasukkan input teks, ia boleh dilakukan melalui empat cara;
- Melalui arahan suara.
- Menavigasi satu per satu aksara melalui D-Pad.
- Menggunakan keyboard pada paparan telefon pintar Android anda.
- Menyambungkan keyboard fizikal melalui sambungan USB atau Bluetooth.
Dan ya, ia membolehkan telefon pintar Android anda dijadikan sebagai remote melalui pemasangan aplikasi Android TV Remote yang boleh didapati pada halaman Google Play Store. Ia mempunyai sokongan D-Pad dan keyboard virtual untuk memudahkan anda menavigasi Android TV melalui telefon pintar Android.
Ia juga menyokong aksesori luaran seperti keyboard dan mouse melalui sambungan USB atau Bluetooth, jadi anda boleh menyambungkan perkakasan seperti wireless keyboard dengan kebolehan touchpad untuk dipadankan bersama Android TV ini.
Android TV
Antaramuka Android TV membawakan paparan 10-foot user interface yang memudahkan anda menavigasi dan melihat paparan ringkas pada jarak dalam lingkungan 10 kaki (iaitu bersamaan 3 meter). Ia menawarkan rekaan yang sangat moden, yang mana membawakan antaramuka berasaskan Material Design yang diperkenalkan pada era Android Lollipop.
Pada Mi Box ini, ia menjalankan Android TV berasaskan Android 6.0 Marshmallow dengan kemaskini sekuriti sekitar 1 Oktober 2016. Apa yang menariknya, ia telah disahkan bakal menerima kemaskini Android 7.0 Nougat, tetapi bilakah tarikh kemaskini ini diedarkan masih tidak diketahui buat masa ini.
Ekosistem Android TV boleh dikatakan amat luas dengan sejumlah aplikasi dan permainan yang dioptimasikan untuk paparan televisyen. Beberapa aplikasi multimedia utama seperti Youtube, Netflix, Spotify, dan Twitch telah sedia dioptimasikan untuk paparan ini. Begitu juga dari segi permainannya, beberapa permainan popular seperti Asphalt 8, Modern Combat 5, Crossy Road dan Goat Simulator turut boleh didapati melalui platform ini.
Android TV juga menyokong pemasangan Kodi, iaitu aplikasi media centre yang menjadi pusat sehenti bagi kandungan multimedia anda. Ramai yang menggunakan aplikasi ini atas sokongan add-ons yang cukup meluas, disamping kebolehan kustomasi pada antaramuka aplikasi ini.
Sideload aplikasi Android
Sekiranya anda tidak menjumpai aplikasi kegemaran anda pada Google Play Store untuk Android TV ini, ia masih membolehkan anda untuk memasang secara luaran. Secara kasarnya, Android TV ini menjalankan Android 6.0 Marshmallow, jadi anda boleh membuat sideload aplikasi .apk mengikut aplikasi kesukaan anda.
Cara-cara sideload .apk buat kali pertama:
- Muat-turun aplikasi berasaskan file manager terlebih dahulu pada Google Play Store.
- Gunakan PC anda untuk memuat-turun fail .apk Google Chrome melalui halaman APK Mirror
- Masukkan fail .apk tersebut ke dalam external drive atau muat-naik fail tersebut pada cloud storage pilihan anda.
- Gunakan file manager untuk mengakses fail .apk tersebut melalui external drive atau cloud storage anda.
Selepas pemasangan Google Chrome, anda kini lebih mudah untuk memuat-turun fail .apk tanpa perlu bergantung pada penggunaan PC.
Satu perkara yang anda perasan selepas pemasangan aplikasi yang dipasang melalui cara sideload ini, ia tidak dipaparkan pada halaman homescreen dan memerlukan anda menuju pada halaman Settings > Apps > nama aplikasi > Open untuk membukanya. Ia agak melecehkan kerana anda perlu melalui laluan yang agak panjang yang untuk mengakses aplikasi-aplikasi ini.
Bagi memudahkan anda untuk mengakses aplikasi yang dipasang melalui sideload, anda boleh memuat-turun aplikasi Sideload Launcher yang mana boleh didapati melalui Google Play Store pada Android TV ini. Ia akan menyenaraikan kesemua aplikasi yang dipasang melalui .apk. dalam satu paparan launcher ringkas.
Senarai aplikasi yang boleh disideload ini sejumlah besarnya boleh dijalankan dengan lancar, namun antaramuka aplikasi-aplikasi ini dilihat hadir untuk paparan berasaskan telefon. Bermakna, aplikasi Microsoft Word akan dipaparkan dalam antaramuka telefon, dan tidak didatangkan dalam antaramuka tablet.
Satu lagi perkara, aplikasi yang direka untuk paparan portrait seperti Instagram dan Pokemon Go tidak dapat dipaparkan dengan baik, atas paparan portrait yang diposisikan secara melintang. Begitu juga dengan pemasangan launcher pihak ketiga, ia boleh dibuka, tetapi tidak boleh dijadikan default launcher untuk menggantikan homescreen Android TV.
Google Cast
Satu fungsi yang menjadikan Mi Box ini cukup berbaloi adalah kehadiran Google Cast, membolehkan peranti ini dijadikan sebagai Chromecast. Oleh disebabkan peranti ini menyokong kandungan berasaskan 4K, ia menjadikannya sebagai alternatif Chromecast Ultra yang mempunyai penawaran yang lebih menyeluruh melalui kehadiran Android TV.
Proses untuk memulakan casting juga sama seperti Chromecast, yang mana memerlukan anda untuk menekan ikon “cast” pada aplikasi yang menyokong fungsi Google Cast ini. Jadi, anda boleh membuat casting daripada telefon anda secara pantas tanpa perlu menavigasi paparan Android TV ini terlebih dahulu.
Prestasi
Mi Box memberikan prestasi yang baik untuk penggunaan harian, seperti melancarkan aplikasi dan memainkan permainan kasual. Cuma grafik permainannya dilihat telah dikurangkan dari segi kualitinya, atas prestasi cip pemprosesan yang berpadanan dengan cip kelas permulaan pada hari ini. Ia mencatatkan mata sekitar 33,301, iaitu berada pada kelas cip pemprosesan Snapdragon 4xx.
Satu isu yang saya dapati adalah dari segi kelancaran ketika membuat casting daripada telefon. Sekiranya anda pernah menggunakan Chromecast walaupun daripada generasi pertama, anda akan dapati Google Cast pada Mi Box ini mengambil masa yang sedikit lama sebelum ia dapat memaparkan kandungan yang dicast.
Walau bagaimanapun, prestasi ketika memainkan video 4K dapat dimainkan dengan lancar, baik dari kandungan 4K daripada external drive anda, aplikasi pada Android TV, dan Google Cast. Dengan kehadiran HDR10, ia juga memberi manfaat kepada anda yang mempunyai kandungan dan TV HDR dalam mendapatkan keperincian, kontras, dan warna kandungan yang lebih menarik. Bagi anda yang mengutamakan aspek audio, ia juga menyokong DTS 2.0+ bersama Dolby Digital Plus dalam memberi pengalaman audio yang imersif melalui saluran audio 7.1.
Rumusan
Mi Box menawarkan sebuah pakej multimedia yang cukup menyeluruh, meliputi ekosistem Android TV bersama sokongan Google Cast. Ia juga membawa pengguna dalam mengendalikan kandungan multimedia yang lebih moden, melalui penggunaan platform dan aplikasi Android TV yang amat dioptimasikan untuk paparan televisyen. Bukan itu sahaja, pengguna juga dapat menikmati fungsi yang hadir pada Chromecast Ultra melalui Mi Box ini, dengan sokongan Google Cast pada resolusi 4K.
Cuma kekurangan yang dilihat pada peranti adalah ketiadaan sokongan microSD yang dilihat menjadi standard pada kebanyakan media player berasaskan Android. Amat sedikit kecewa apabila hanya terdapat satu port USB sahaja disediakan, menyukarkan pengguna untuk menyambungkan aksesori dan storan luaran secara serentak. Ia juga mengambil sedikit masa ketika anda ingin membuat cast ke Mi Box ini, yang mungkin jadi sedikit isu bagi anda sudah biasa dengan kepantasan yang hadir pada Chromecast.
Pro
- Penawaran paling berpatutan untuk melangkah ke platform Android TV.
- Hadir dengan Google Cast (kebolehan casting seperti Chromecast).
- Ekosistem berasaskan Android yang cukup luas untuk sokongan aplikasi.
- Telefon boleh dijadikan sebagai remote dan keyboard virtual.
- Menyokong HDR10, DTS 2.0+, dan Dolby Digital Plus.
- Bakal menerima kemaskini Android TV berasaskan Android 7.0 Nougat.
- Lebih bernilai berbanding Chromecast Ultra.
Kontra
- Tiada slot microSD.
- Hanya terdapat satu USB port.
- Prestasi Google Cast terdapat sedikit isu hiccup.
Tetapi dengan harga RM349, penawaran yang hadir pada Mi Box ini menjadikannya amat berbaloi atas sokongan dua platform dalam satu peranti menerusi Android TV dan sokongan Google Cast pada resolusi 4K. Ia juga boleh dijadikan sebagai alternatif Chromecast Ultra yang mana sehingga hari ini, ia masih tidak dijual secara rasmi di negara ini. Pendek kata, bagi anda yang ingin yang ingin mencuba platform Android TV pada harga yang berpatutan, Mi Box ini mampu memenuhi keperluan anda dengan sokongan ekstra seperti Google Cast dan kemampuan memainkan kandungan beresolusi 4K.