AMD Memperkenalkan Siri Kad Grafik AMD RX 500 Untuk Pelbagai Jenis Pengguna PC
AMD

AMD Memperkenalkan Siri Kad Grafik AMD RX 500 Untuk Pelbagai Jenis Pengguna PC

Diterbitkan pada Apr 18, 2017 oleh .

Bagi peminat AMD yang tidak sabar menunggu kedatangan kad grafik AMD Vega, dan tidak mempunyai wang untuk membeli kad grafik premium tersebut, AMD baru sahaja memperkenalkan kad grafik siri AMD RX 500 yang terbaru pada tahap harga dan penggunaan yang berbeza.

Kad-kad grafik baru ini terdiri daripada kad grafik AMD RX 580, RX 570, RX 560 dan juga RX 550. Kesemua kad-kad grafik ini menggunakan cip pemprosesan grafik Polaris yang digunakan dalam siri RX 400 sebelum ini, tetapi telah dikemaskini untuk menyokong teknologi-teknologi grafik terbaru oleh AMD.

Cip pemprosesan grafik Polaris yang dikemaskini ini dicipta menggunakan teknologi FinFET 14nm yang terbaru, dan ini membolehkan pengguna meng-overclock kad grafik mereka dengan lebih jauh berbanding sebelum ini. Dalam pada itu, rekaan baru GPU ini juga membolehkan pembuat-pembuat kad grafik seperti ASUS, MSI dan sebagainya mereka penyejuk yang lebih unik berbanding sebelum ini.

Kad grafik yang paling berkuasa dalam siri ini, AMD RX 580 mempunyai kelajuan asas 1257MHz dengan Boost nilai Clock setinggi 1340MHz. Ia mempunyai memori GDDR5 sebanyak 8GB. Kad ini mempunyai 36 compute units dan menyokong kesemua teknologi grafik terbaru AMD, termasuklah Radeon ReLive, Radeon Chill dan FreeSync.

Dari segi prestasi, kad grafik ini mampu bermain banyak permainan video yang popular pada waktu ini, termasuklah Overwatch, Battlefield 1 dan Doom pada resolusi 1440p pada kadar segar semula melebihi 60FPS. Kad ini juga disyorkan oleh AMD sebagai VR-Ready, membuatkannya salah satu kad grafik yang agak berkuasa di pasaran sekarang.

Satu tingkat dibawahnya ialah AMD RX 570, dan menurut AMD, kad ini ditujukan kepada mereka yang ingin bermain permainan komputer pada resolusi Full HD (1920×1080) pada tetapan yang tinggi. Kad ini pula mempunyai kelajuan asas 1168MHz, kelajuan Boost Clock pada 1244MHz dan memori sebanyak 4GB. Ia mempunyai 32 compute units dan menyokong semua teknologi grafik baru dari AMD, sama seperti RX 580.

Jika anda hanya mahukan kad grafik yang tidak begitu mahal untuk bermain permainan komputer seperti League of Legends dan DoTA, AMD RX 560 mungkin untuk anda. Ia mempunyai kelajuan asas 1175MHz, Boost Clock setinggi 1275MHz, dan juga memori sebanyak 4GB seperti RX 570. Sama seperti dua kad sebelum ini, ia menyokong semua teknologi grafik baru AMD.

Dan terakhir sekali, AMD RX 550 adalah kad grafik untuk mereka yang mahu membina komputer untuk kegunaan ruang tamu ataupun HTPC (Home Theater PC), khusus untuk menonton video 4K. Ia mempunyai kelajuan Boost Clock 1183MHz, memori sebanyak 2GB dan juga menyokong teknologi AMD yang baru seperti yang dinyatakan di atas.

Dari segi harga pula, secara rasminya, AMD RX 580 bermula dari harga $229 (RM1010) manakala AMD RX 550 pula akan bermula dari harga $70 (RM245). AMD Malaysia bakal mengumumkan kad-kad grafik baru ini di acara pelancarannya pada 19 haribulan April, dan kami pasti akan memberikan anda maklumat tentang ketersediaan kad-kad ini di sini.


TIPS & ULASAN