Facebook Mengumumkan Fokus Terhadap Arena AR Melalui Penggunaan Aplikasi Kamera

Facebook Mengumumkan Fokus Terhadap Arena AR Melalui Penggunaan Aplikasi Kamera

Diterbitkan pada Apr 19, 2017 oleh .

Facebook kini menjadi salah satu laman sosial terkemuka, dimana pelbagai perubahan yang dibawakan padanya memberikan kesan besar terhadap penggunaan teknologi di seluruh dunia. Facebook sebelum ini sedia memperlihatkan pembangunan dalam arena realiti-maya melalui pengambil-alihan Oculus, dan kini mereka turut memfokuskan kepada arena Augmented Reality (AR).

Facebook AR

Mark Zuckerberg sendiri mengatakan mereka sedikit terlambat ke arena AR, tetapi kini mereka ingin menguasainya. Antara kaedah yang digunakan oleh Facebook adalah termasuk mengintegrasikan kepakaran pembelajaran mesin dan pengenalan objek pada platform AR mereka.

Pada acara F8 yang diadakan hari ini, Mark Zuckerberg turut melancarkan platform khusus untuk pembangun dalam arena AR ini, dinamakan sebagai Camera Effects Platform. Menggunakannya, para pembangun boleh membangunkan pelbagai kesan khas dan menggunakan AR bersama-sama aplikasi kamera pada Facebook.

Pembangun juga turut boleh menggunakan AR Studio dalam pembangunan aplikasi AR mereka, selain Frame Studio untuk memudahkan pembangun merekabentuk kesan khas untuk ditambah pada imej atau video.

Untuk pengguna pula, mereka boleh menambah kesan khas bukan sahaja pada gambar, tetapi juga video. Malah, lebih daripada itu, pengguna kini boleh berinteraksi bersama objek 3D maya dengan mudah. Sebagai contoh, sekiranya anda ingin bermain catur, anda boleh memilih aplikasi berkaitan, dan menggunakan kamera untuk melihat catur maya berkenaan dan memainkannya bersama rakan-rakan lain.

Pengguna juga turut boleh seperti menghalakan kamera kepada objek yang ingin dikehendaki, dan mendapatkan maklumat tambahan melaluinya – sesuatu yang sangat berguna dalam arena pelancongan.

Seperti biasa, teknologi AR ini masih sesuatu yang baru, dan perubahan yang bakal dibawakan olehnya mungkin memberikan kesan besar terhadap bagaimana kita akan menggunakan teknologi dalam kehidupan harian.


TIPS & ULASAN