Cari @ Amanz

Sepuluh tahun lepas, Steve Jobs telah mencuri perhatian seluruh dunia melalui pengenalan iPhone pertama di San Francisco. Kini, selang 10 tahun, bersempena ulang-tahunnya, Apple dalam usaha untuk memperkenalkan sebuah peranti yang boleh mencuri perhatian ramai.

Apple sedang mempersiapkan tiga iphone untuk diperkenalkan pada tahun ini, iaitu dua versi kemaskini kepada model sedia ada, dan satu lagi model baru dengan pelbagai ciri-ciri serta perubahan drastik padanya.

Rekaan untuk ketiga-tiga iPhone baru ini dikatakan masih tidak mencapai fasa akhir lagi, dan sejumlah jenis rekaan berbeza sedang diuji.

Antara yang sedang diuji adalah penggunaan skrin melengkung dihadapan dengan bingkai logam.

Untuk model iPhone bersempena 10 tahun yang menggunakan skrin OLED, Apple dikatakan menguji beberapa rekaan, termasuk berbentuk simetri, dan juga satu lagi yang menawarkan rekaan melengkung dibelakang pada ke semua sudut tepi telefon – lebih kurang seperti rekaan asal iPhone. Walaubagaimanapun, untuk versi ini ia dikatakan mempunyai kekangan pengeluaran disebabkan oleh kemampuan pengeluaran untuknya.

Kamera. Apple dikatakan sedang menguji penggunaan dwi-kamera belakang yang diposisikan secara menegak berbanding dengan melintang pada iPhone 7 Plus. Ia dikatakan menawarkan kualiti rakaman yang lebih baik berbanding kedudukan kamera sedia ada.

Kamera Hadapan. Apple dikatakan sedang menguji penggunaan dwi-lensa pada kamera hadapan. Ia mungkin merupakan sebahagian daripada langkah Apple untuk memasuki arena AR.

Sistem Operasi. Semua iPhone baru akan menjalankan iOS 11 yang dijangka hadir dengan kemaskini antaramuka, dan akan diperkenalkan pada bulan Jun ini.

Cip Pemprosesan. Apple sedang menguji penggunaan cip pemprosesan berasaskan rekaan 10nm untuk ketiga-tiga model baru, yang dijangka menawarkan pemprosesan lebih tinggi tetapi penggunaan tenaga lebih efisyen.

Pengimbas Cap Jari. Apple sedang menguji integrasi pengimbas cap jari terus pada skrin, tetapi hanya pada model iPhone Premium dengan skrin OLED sahaja.

Seperti biasa, kita akan mengetahui lebih lanjut mengenai ciri-ciri baru yang dijangka hadir pada iPhone baru dan juga iPhone bersempena 10 tahun ini dalam minggu-minggu akan datang. Desas-desus sebelum ini turut mengatakan iPhone bersempena 10 tahun berkenaan akan dijual pada harga yang sangat tinggi berbanding model biasa.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd