Xiaomi Mi 6 Diperkenalkan – Skrin Melengkung, Dwi-Kamera, 6GB RAM, Snapdragon 835

Xiaomi Mi 6 Diperkenalkan – Skrin Melengkung, Dwi-Kamera, 6GB RAM, Snapdragon 835

Diterbitkan pada Apr 19, 2017 oleh .

Xiaomi, jenama peranti pintar dari China yang popular dengan penawaran peranti pada harga sangat rendah, hari ini telah memperkenalkan telefon pintar terbaru mereka, iaitu Xiaomi Mi 6.

Xiaomi Mi 6 menjadi telefon flagship daripada pengeluar China berkenaan untuk tahun 2017 ini. Telefon Xiaomi Mi 6 ini menjadi telefon keluaran China pertama yang dilengkapi dengan cip pemprosesan Snapdragon 835. Untuk makluman, buat masa ini, hanya Samsung sahaja yang menggunakan cip pemprosesan ini dan telah memasarkan produk mereka – sementara pengeluar lain seperti Sony telah mengumumkan akan menggunakan cip ini, tetapi masih belum memasarkan produk mereka.

Xiaomi Mi 6

Xiaomi Mi 6

Snapdragon 835 hadir dengan rekaan 10nm, yang menawarkan kuasa pemprosesan baik serta penggunaan tenaga yang efisyen. Melengkapkan cip Snapdragon 835 ini adalah sokongan GPU dengan integrasi Vulkan untuk pengalaman permainan video yang lebih baik berbanding kebiasaan. Ketika pengumuman, Xiaomi turut membandingkan markah Antutu dan GFXBench, yang mana memperlihatkan skor Xiaomi Mi 6 jauh lebih tinggi daripada pelbagai pesaing mereka – termasuk Huawei P10, Oppo R9s dan Samsung Galaxy S8.

Xiaomi Mi 6

Xiaomi Mi 6

Selain daripada cip pemprosesan terkini, Xiaomi Mi 6 turut menggunakan memori 6GB RAM bersama dengannya. Xiaomi mengatakan, melalui penggunaan cip Snapdragon 835 dan 6GB RAM, ia merupakan telefon pintar berkuasa tinggi di pasaran.

Xiaomi Mi 6 hadir dengan skrin bersaiz 5.15-inci, dan menggunakan rekaan kaca melengkung pada ke semua sisi. Dengan rekaan yang melengkung pada ke semua sisi ini, pihak Xiaomi juga mengambil langkah untuk membuang bicu audio 3.5mm pada telefon pintar Mi 6 ini.

Melengkapkan skrin ini juga adalah penggunaan mod “Eye Care” yang mana mengurangkan kadar warna biru pada paparan. Berbeza dengan penawaran pihak lain yang sering menghilangkan warna biru dan menjadikan paparan lebih “kuning”, melalui Mi 6 dan mod Eye Care ini, ia menjadikan warna skrin hampir kekal seperti warna asal dan bukannya lebih “kuning”. Disamping itu, ia turut menyertakan mod Ultra Dark Night Mode – membawa kadar kecerahan hanya 1nit sahaja.

Mi 6

Disamping itu, seperti beberapa telefon pintar lain, Xiaomi Mi 6 turut hadir dengan sokongan kalis percikkan air padanya – membolehkan ia digunakan ketika hari hujan dan sebagainya tanpa risau seperti sebelum ini. Pada bahagian rangkaian, Mi 6 menyertakan sokongan dwi-WiFi yang menawarkan kebolehan mencapai rangkaian WiFi yang lebih baik dan pantas, selain integrasi sokongan 4G+ terkini.

Mi 6

Mi 6

Xiaomi Mi 6 menggunakan bateri berkapasiti 3350mAh, serta dilengkapi sokongan pengecasan pantas Quick Charge 3.0 hasil penggunaan cip Snapdragon 835. Integrasi lain seperti NFC turut disertakan, selain sokongan dwi-speaker untuk menikmati media dan permainan dengan baik.

Pada bahagian kamera, Xiaomi Mi 6 menggunakan dwi-kamera pada bahagian belakang, dimana Mi 6 mengimplementasi kaedah dwi-kamera seperti pada iPhone. Pengguna boleh merakamkan gambar dengan bahagian belakang yang sedikit dikaburkan, ataupun turut menggunakan sokongan zoom optikal yang disertakan untuk merakamkan gambar dengan lebih dekat. Xiaomi Mi 6 menggunakan gabungan lensa 12MP+12MP padanya untuk tujuan berkenaan, selain melengkapkan kamera belakang dengan sokongan penstabilan imej optikal 4-axis.

Xiaomi Mi 6 ditawarkan pada harga RMB 2499, iaitu sekitar RM1599 untuk versi 6GB RAM dan ruangan storan 64GB, sementara variasi dengan storan 128GB pula hadir pada harga RMB 2899, iaitu sekitar RM1855. Xiaomi turut menawarkan variasi dengan rekaan seramik pada harga RMB2999, iaitu pada hagra RM1999. Dengan penawaran harga ini, boleh dikatakan ia sangat kompetitif – dan sama-sama kita berharap agar penawaran ia di Malaysia kelak tidak jauh beza harga jualannya. Xiaomi akan menawarkan peranti ini di pasaran China bermula penghujung bulan April 2017 ini.


TIPS & ULASAN