Acer Memperkenalkan Siri Chromebook Khusus Untuk Pendidikan Dan Perniagaan

Acer Memperkenalkan Siri Chromebook Khusus Untuk Pendidikan Dan Perniagaan

Diterbitkan pada Apr 20, 2017 oleh .

Membeli sebuah komputer riba untuk tujuan pembelajaran ataupun perniagaan selalunya agak sukar kerana harga komputer riba sekarang mempunyai tanda harga yang agak mahal.

Hari ini Acer memperkenalkan beberapa siri Chromebook baru untuk pasaran Malaysia, khusus untuk industri pendidikan dan juga perniagaan. Ini termasuklah Acer Chromebook 14 CP5-471, Acer R11 738T, dan Acer Chromebook 11 N731.

Model terutama dari siri ini, Acer Chromebook 14 CP5-471 mempunyai skrin bersaiz 14 inci dan dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core i5-6200U, RAM DDR3 sebanyak 8GB dan juga storan sebanyak 25GB. Ia hadir dengan dua port USB 3.0, satu port USB 3.0 Type-C, satu port HDMI dan sebuah pembaca kad SD yang terbina.

 

Menariknya, Chromebook 14 ini juga mempunyai beberapa ciri yang membuatnya sebuah komputer riba yang lasak. Paparannya menggunakan Corning Gorilla Glass 3, manakala papan kekuncinya kalis air, dan mampu menghalang air sebanyak 330ml daripada masuk di celah-celah komponen melalui lubang di tepi papan kekunci tersebut.

Dalam pada itu, Chromebook 14 ini juga disahkan melepasi piawaian MIL-STD 810G di mana ia mampu menampung berat 60KG, dan juga ujian jatuh setinggi 122cm. Dari segi bateri pula, Acer mengatakan bahawa Chromebook 14 ini mempunyai bateri yang mampu bertahan sehingga 12 jam apabila dicas dengan penuh.

Acer Chromebook R11 738T pula sebuah komputer riba yang boleh dilipat 360 darjah, dan digunakan sebagai sebuah tablet. Ia mempunyai paparan sesentuh 11 inci yang mampu menyokong sentuhan sebanyak 10 jari. Dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Celeron, dan juga mempunyai RAM sebanyak 4GB.

Ia mempunyai sebuah port USB 3.0, sebuah port USB 2.0 dan juga sebuah port HDMI dan pembaca kad SD untuk melengkapkan I/O komputer riba ini. Dari segi jangka-hayat pengecasan pula, Chromebook R11 ini juga dikatakan mampu bertahan lebih daripada 10 jam dengan satu pengecasan penuh.

 

Acer Chromebook R11 ini juga merupakan peranti Chromebook pertama yang boleh mengakses Google Play Store, dan ini memberikan Acer Chromebook 11 akses kepada lebih 2 juta aplikasi di kedai aplikasi Google tersebut. Chromebook R11 juga mempunyai sokongan WiFi MIMO 802.11ac yang memberikan peranti ini sokongan internet yang sangat laju.

 

Untuk kegunaan sekolah-sekolah dan para pelajar, Acer memperkenalkan Acer Chromebook 11 N7 C731. Dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Celeron dua-teras N3060 dan 2GB RAM, komputer riba Chromebook 11 ini menggabungkan beberapa ciri-ciri daripada kedua-dua Acer Chromebook 14 dan juga Acer Chromebook R11.

Ini termasuklah pengesahan piawaian MIL-STD 810G, dimana Chromebook 11 ini boleh menakung air sebanyak 330ml, dijatuhkan dari ketinggian 122cm dan juga menampung berat sebanyak 60kg.

Dalam pada itu, engsel paparan Acer Chromebook 11 ini juga boleh ditolak sehingga 180 darjah, dan ini memudahkan pelajar untuk berkongsi paparan dengan rakan-rakan dan guru mereka melalui paparan 11.6 inci tersebut.

Pihak Acer Malaysia juga berkata bahawa kesemua peranti-peranti ini boleh dibeli sekarang. Acer Chromebook 14 CP5731 boleh dibeli pada harga RM2299, Acer Chromebook R11 738T pada RM1499, manakala Acer Chromebook 11 pula mempunyai tanda harga bermula pada RM999.

TIPS & ULASAN

<script>