Jenama telefon Nokia kini kembali menjadi sebutan ramai sejak awal tahun ini, dimana kini produk berjenama Nokia dikeluarkan oleh HMD Global. Antara produk mereka yang mencuri perhatian pada tahun ini adalah termasuk beberapa telefon pintar yang dikuasakan sistem operasi Android, selain sebuah telefon yang mengembalikan nostalgia ramai, iaitu Nokia 3310.
Kini, melalui laman Mdroid.my, hadir desas-desus mengatakan Nokia 3310 dan Nokia 6 akan hadir ke pasaran tempatan dalam waktu terdekat – sekitar awal Mei 2017 ini.
Ia dikatakan Nokia 6 akan ditawarkan dalam dua variasi di Malaysia, iaitu dalam pilihan 3GB RAM dan ruangan storan 32GB, selain 4GB RAM dan ruangan storan 64GB. Model asasnya dikatakan akan berharga RM899, sementara model 4GB RAM dijangka berharga RM1299.
Selain daripada peranti berasaskan Android, Nokia 3310 pula dijangka akan dijual pada harga RM189. Ia mungkin sesuai untuk digunakan sebagai telefon kedua – dan pada masa yang sama mengembalikan nostalgia anda kepada telefon ikonik jenama berkenaan.
Apa pun, seperti biasa, ini hanya sekadar desas-desus sahaja buat masa ini, dan tiada kepastian dan komen rasmi daripada pihak Nokia (atau pengedarnya di Malaysia) buat masa ini.