Cari @ Amanz

Sejurus selepas dilancarkan pada penghujung Mac lalu, kami menulis artikel mengenai lima keraguan mengenai Samsung Galaxy S8. Selepas menggunakan peranti ini lebih daripada seminggu, keraguan-keraguan ini akhirnya terjawab. Adakah keraguan kami berasas ataupun tidak? Teruskan membaca artikel ini untuk mendapatkan jawapannya.


01 – Skrin Memanjang

Selepas dua minggu kami semakin biasa menggunakan peranti dengan skrin memanjang ini. Seperti mana kami mempelajari semula menggunakan peranti selepas skrin 4:3 digantikan dengan skrin 16:9 sekitar lima tahun yang lalu. Tempoh penyesuaian yang pendek ini walaunbagaimanapun berbeza-beza bergantung kepada pengguna.

Samsung Galaxy S8

Dari segi aplikasi pula Samsung membenarkan pengguna menetapkan bagaimanakah aplikasi akan dipaparkan. Di dalam skrin tetapan Display, terdapat pilihan untuk memanjangkan kesemua aplikasi untuk menggunakan kesemua permukaan skrin. Setakat ini kami tidak mengalami sebarang masalah menggunakan mod ini.


02 – Ketahanan Skrin Dan Kos Baik Pulih

Ketahanan skrin masih lagi menjadi isu utama kami mengenai peranti ini. Semasa tempoh ulasan peranti terjatuh sebanyak dua kali kerana permukaan yang licin dan masih kurang selesa menggunakan skrin memanjang. Apabila peranti terjatuh pada bahagian hadapan tiada sebarang kerosakan kami temui apabila terjatuh dari ketinggian sekitar tiga kaki ke permukaan jalan tar.

Samsung Bixby

Tetapi masih tidak menyebelahi kami apabila peranti jatuh pada permukaan belakang. Berlaku keretakan pada bucu ia menyerap hentakan. Terdapat juga rekahan memanjang yang sukar dilihat kerana peranti yang diulas berwarna hitam. Sekali lagi kami menyeru kepada bakal pemilik Galaxy S8 supaya membeli kerangka tahan lasak bagi mengelakkan kejadian tragis yang kami alami berlaku kepada mereka.


03 – Saiz Bateri

Saiz bateri yang digunakan ialah 3000 mAh pada Galaxy S8 dan 3500 mAh pada S8 Plus. Setakat ini kami hanya berpeluang mengulas Galaxy S8. Dari graf dibawah anda boleh melihat hayat penggunaan peranti boleh mencecah 26 jam pada penggunaan paling konservatif.

Tetapi secara konsisten tempoh skrin terpasang  (SOT) tidak mampu mencecah lima jam. Ini ialah tempoh SOT yang hanya sederhana jika dibandingkan dengan peranti-peranti utama yang dihasilkan oleh pesaing. Juara SOT di Makmal Amanz masih lagi Apple iPhone 7 Plus yang mencecah 10 jam. Kelemahan utama Galaxy S8 terletak pada bateri peranti yang agak kecil.


04 – Kedudukan Pengimbas Cap Jari

Kedudukan pengimbas cap jari Samsung Galaxy S8 adalah agak canggung. Selepas dua minggu kami masih tidak dapat membiasakan diri menggunakannya. Ini kerana akrobatik jari yang perlu dilakukan bagi menyentuhnya. Kombinasi skrin memanjang dan tubuh yang amat licin membuatkan kami tidak berani untuk melakukan lebih banyak akrobatik jari. Malahan harus diakui sebab peranti terjatuh pada kali pertama ialah kerana percubaan mengakses pengimbas ketika penggunaan sebelah jari.

Samsung Galaxy S8

Berita baik di sini ialah Samsung menyedari pengguna akan mengalami kesukaran menggunakan pengimbas jari ini. Oleh itu beberapa alternatif diberikan seperti imbasan wajah dan anak mata diberikan. Kedua-dua fungsi nyahkunci imbasan biometri ini berfungsi dengan baik sekali. Imbasan wajah contohnya berfungsi dengan cukup pantas. Kami berubah sepenuhnya kepada sistem imbasan wajah selepas beberapa hari penggunaan. Tiada lagi masalah sukar mengimbas jari dan risiko peranti terjatuh dari genggaman tangan.


05 – Tiada Dwi-Kamera Seperti Pengeluar Lain

Kami secara peribadi merasakan kamera pada Galaxy S8 ialah yang terbaik digunakan pada peranti yang dilancarkan pada tahun 2017 setakat ini. Ia menunjukkan beberapa peningkatan berbanding juara tahun lalu iaitu Galaxy S7 Edge. Sungguhpun di atas kertas ia mempunyai spesifikasi yang sama, gambar yang diambil S8 adalah jauh lebih terang terutamanya yang diambil pada waktu malam.

Gambar yang sedikit kekuningan tahun lalu sudah diperbaiki. Penghasilan warna masih lagi hyper-real dengan saturasi yang tinggi. Ini ialah trademark peranti Samsung sejak sekian lama. Ada yang menyukainya dan tak kurang juga wujud golongan yang lebih menyukai tona warna lebih semula jadi.

Adakah Galaxy S8 mempunyai kekurangan kerana tiadanya sokongan dwi-kamera? Bagi penggunaan setiap hari jawapan yang kami berikan ialah tidak. Tetapi bagi mereka yang mengambil gambar potret dengan kesan bokeh dan gemar melakukan pemfokusan semula pasca gambar diambil, ketiadaan dwi-kamera mungkin akan dirasai.

Terdapat mod untuk melakukan bokeh di dalam aplikasi kamera S8 tetapi kesan khas yang terhasil tidak sebaik yang ditemui pada iPhone 7 Plus ataupun Huawei P10 Plus. Pengguna perlu memilih fungsi manakah lebih penting untuk keperluan harian mereka. Kami yakin bagi majoriti pengguna, sistem kamera 12-Megapixel f/1.7  yang disertakan adalah lebih dari memuaskan.


Lima kerisauan awal sudah terjawab. Diharap ini akan turut menjawab persoalan pembaca yang mungkin mempunyai persoalan yang sama. Samsung Galaxy S8 dan S8+ dilancarkan secara rasmi di Malaysia hari ini dan mula dijual esok. Bagi yang telah membeli selamat menikmati peranti anda. Untuk ulasan lebih lengkap dan pengalaman penggunaan peranti yang lebih terperinci anda boleh membacanya menerusi pautan di bawah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd