Cari @ Amanz

Maklumat terperinci mengenai Call of Duty : WWII hanya akan diketahui pada 26 April hadapan. Sebagai peminat siri COD sejak dahulu lagi kami mempunyai senarai idaman (wish list) yang panjang untuk permainan video ini. Tetapi untuk artikel ini kami menghadkannya kepada lima perkara yang paling kami mahukan.

1. Teater Perang Selain Di Eropah

Kitar semula senario peperangan di teater Eropah menyebabkan genre FPS Perang Dunia Kedua menjadi semakin bosan. Medal of Honor Allied Assault sudah memaparkan misi di Omaha Beach ketika D-Day Normandy. Call of Duty II kemudian melakukan perkara yang sama. Perang Dunia Kedua berlaku di seluruh dunia.

Kami berhadap di dalam COD : WWII kita boleh melihat kegagalan pihak British di Dunkirk, pertempuran kereta kebal di Kursk atau pertempuran merebut Gunung Suribachi di Iwo Jima.

Tetapi wish-list yang paling kami mahukan sejak turun temurun ialah melihat kejatuhan Singapura dan China (Battle of Nanjing) dalam versi permainan video. Tetapi permainan FPS biasanya akan lebih menumpukan pemain Eropah serta Amerika Syarikat dan bukannya Asia. Kebarangkalian misi-misi yang menumpukan penentangan ke atas Empayar Jepun adalah agak rendah.

2. Misi Udara Dan Laut

Call of Duty : Infinite Warfare mungkin kurang mendapat sambutan berbanding permainan lain di dalam siri ini. Tetapi ia mempunyai beberapa misi untuk yang membenarkan pemain mengawal pesawat pejuang. Oleh itu kami berharap di dalam WWII kelak terdapat misi yang melibatkan tentera udara.

Dari lipatan sejarah ada pelbagai pertempuran udara yang boleh dihasilkan semula seperti Battle of Britain, Battle of Coral Sea dan yang paling terkenal sekali misi serangan hendap Pearl Harbor.

Misi dari perspektif tentera laut juga menarik. Bayangkan anda mengawal terlibat di dalam misi menenggelamkan HMS Prince of Wales (di perairan Pahang), Bismarck dan Yamato.

Sebelum ini misi pendek mengawal pesawat disertakan di dalam COD World at War ,United Offensive dan Big Red One. Kami mahukan misi lebih panjang dan epik berbanding misi-misi pesawat COD sebelum ini.

3. Bermain Sebagai Askar Kuasa Paksi

Ini mungkin permintaan paling kontroversi di dalam senario politik semasa yang kini melihat kebangkitan faham rasis alternatif-kanan. Tiada permainan membenarkan pemain mengawal Nazi kerana fahaman toksik mereka menyebabkan jutaan insan mati di dalam kem tahan. Tiada juga misi membenarkan askar Jepun dikawal kerana sebab yang sama.

Tetapi ketika Perang Dunia Kedua, wujud askar kuasa paksi yang membantu askar berikat. Mungkin misi dari perspektif pihak lawan boleh digunakan untuk menunjukkan kekejaman yang dilakukan oleh pihak kuasa paksi. Dengan kata lain misi seakan “No Russian” dari Modern Warfare 2 boleh digunakan bagi memberikan kesedaran tentang kekejaman bukannya mengagungkannya.

Sekiranya filem Letters From Iwo Jima dan Das Boot boleh menunjukkan nilai kemanusiaan askar kuasa paksi tanpa mendatangkan kontroversi, mengapa perkara yang sama tidak dapat dilakukan di dalam permainan video?

4. Lebih Banyak Senjata Eksotik Perang Dunia Kedua

Sejak kebelakangan ini siri COD banyak memaparkan pelbagai senjata eksotik yang boleh digunakan oleh pemain. Infinite Warfare mempunyai sistem menggodam robot dan pula Modern Warfare mempunyai raifal APS yang menembak lembing di bawah permukaan air. Permainan Perang Dunia Kedua menjadi bosan kerana hanya menggunakan senjata standard 1911, M1 Garand dan MP40.

Mungkin pihak Activision boleh memaparkan lebih banyak senjata eksotik dari era ini seperti kereta kebal kawalan jauh Goliath (gambar atas), raifal dengan skop infra merah ZG 1229 atau helikopter terawal Focke-Achgelis Fa 223 Drache. Kesemuanya dipaparkan bagi menunjukkan teknologi tercanggih yang dihasilkan pada waktu tersebut.

4.Misi Diinspirasi Dari Filem Dan Siri TV

Misi terbaik Medal of Honor Allied Assault ialah misi D-Day pantai Normandy. Ia banyak meminjam elemen dari filem Saving Private Ryan. Permainan COD banyak mempamerkan elemen sinematik dan kami merasakan COD : WWII mungkin boleh mendapatkan lebih banyak inspirasi dari filem-filem perang yang lain.

Bayangkan sahaja misi di Bastogne dari siri Band of Brothers dihasilkan semula dalam bentuk permainan video. Pastinya mencemaskan mencari lubang musang ketika dibedil artileri pihak musuh. Terdapat banyak filem-filem klasik lain boleh dijadikan inspirasi. Terpulang kepada pihak Activision untuk mendapatkan kebenaran.

Bagaimana pula dengan pembaca Amanz? Apakah perkara baru yang ingin anda lihat di dalam Call of Duty : WWII kelak? Kongsikannya di ruangan komen di bawah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd