AMD Mengumumkan AMD Radeon Pro Duo – Kad Grafik Dengan Dua Cip Pemproses Grafik Untuk Kegunaan Profesional
AMD

AMD Mengumumkan AMD Radeon Pro Duo – Kad Grafik Dengan Dua Cip Pemproses Grafik Untuk Kegunaan Profesional

Diterbitkan pada Apr 25, 2017 oleh .

Kad grafik AMD RX Vega mungkin hadir tidak lama lagi, tetapi nampaknya AMD telah mengumumkan kad grafik yang baru berdasarkan GPU Polaris. Kad yang dinamakan AMD Radeon Pro Duo ini menggunakan bukan satu, tetapi dua GPU Polaris, dan ianya akan dijual untuk kegunaan pelbagai aplikasi grafik profesional secara serentak.

Selain daripada dua GPU Polaris, kad grafik AMD Radeon Pro Duo hadir dengan 32GB memori GDDR5 dan 72 unit pengiraan (4608 pemproses aliran) yang mampu mengira selaju 11.45 TFLOPS. Ia juga menggunakan kuasa sebanyak 250W, dan ini adalah kerana satu sahaja kad grafik ini mampu menggerakkan empat paparan skrin pada resolusi 4K 60FPS, ataupun sebuah paparan skrin 8K pada 30FPS dengan sebuah kabel DisplayPort, dan pada 60FPS jika menggunakan dua kabel.

Menurut AMD, sebab utama kad ini dicipta adalah untuk memudahkan mereka di industri seni reka, perisian dan pembina teknologi realiti maya supaya mereka boleh mempercepatkan lagi proses kerja mereka. Misalnya, kad grafik AMD Radeon Pro Duo ini meningkatkan prestasi realiti maya sebanyak 50 peratus apabila diuji dengan perisian SteamVR.

Pemaju konsep realiti maya memerlukan sebuah mesin yang boleh membantu mereka mencipta kandungan realiti maya pada resolusi 4K sebelum ianya dikecilkan kepada resolusi Full HD, dan AMD yakin bahawa kad AMD Radeon Pro Duo ini adalah komponen yang dapat meringankan beban mereka.

Kad grafik AMD Radeon Pro Duo ini bakal hadir pada penghujung bulan Mei, dan ia dikatakan akan dijual pada harga $999 (RM4391).


TIPS & ULASAN