Cari @ Amanz

Pengguna tidak mempunyai begitu banyak pilihan jika mereka mahu membeli paparan skrin desktop dengan rekaan minimalis, dan kini, mereka bakal mendapat dua lagi pilihan baru oleh AOC kerana mereka baru sahaja memperkenalkan dua monitor baru dengan rekaan anggun dalam usaha-sama bersama-sama Porsche.

Paparan-paparan ini dinamakan AOC PDS241 dan AOC PDS71. Dari nama-nama ini, dapat dilihat bahawa AOC PDS241 ini merupakan paparan skrin bersaiz 24 inci, manakala AOC PDS271 pula bersaiz 27 inci. Kedua-dua paparan ini mempunyai resolusi Full HD (1920×1080), menggunakan panel AH-IPS yang hadir dengan teknologi paparan SuperColor WCG AOC yang menjanjikan liputan warna sRGB 100% dan NTSC 90%.

Selain daripada sokongan warna yang berkualiti, paparan skrin ini juga hadir dengan beberapa konsep rekaan yang menarik, termasuklah ketebalan skrin yang hadir pada hanya 5.2mm dan juga paparan yang hadir tanpa bezel dari tiga sudut. Selain itu, kami pasti input rekaan Porsche datang daripada tapak dan kaki paparan ini, yang kelihatan sangat bersih dan teguh, diperbuat daripada besi aluminum.

Buat masa ini, ia masih tidak diketahui jika AOC Malaysia akan membawa masuk monitor ini, tetapi ia sudahpun dijual di negara-negara seperti Amerika Syarikat pada harga $230 (RM1011) untuk model PDS241 dan $330 (RM1451) untuk model PDS271.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd