Cari @ Amanz

Dengan kemajuan teknologi hari ini, komputer dengan rekabentuk yang kecil juga mampu mempunyai kuasa yang cukup untuk memainkan permainan-permainan komputer yang moden. Kini, bermain permainan komputer tidak seharusnya bermaksud anda perlu berkurung di dalam bilik sahaja.

Jika anda kenal dengan komputer ASUS VivoPC, syarikat tersebut baru sahaja mengumumkan kehadiran ASUS VivoPC X, sebuah komputer bersaiz lima liter yang pada mulanya diperkenalkan di Consumer Electronics Show awal tahun ini. Komputer kecil ini padat dengan komponen-komponen terbaru. Ia dikuasakan oleh CPU Intel Core i5-7300HQ Kaby Lake yang terbaru, dan memori DDR4 sebanyak 8GB dengan storan cakera keras sebesar 1TB.

Untuk I/O, ia mempunyai empat port USB 3.1, dua port USB 2.0, dua port HDMI dan satu port DisplayPort.

Melengkapkan komputer ASUS VivoPC X ialah kad grafik NVIDIA GTX 1060 3GB yang mampu menggerakkan peranti-peranti realiti maya seperti Oculus Rift dan HTC Vive dan memainkan semua permainan komputer yang baru pada resolusi 1080p tanpa masalah. Dari segi perkakasan pula, ASUS VivoPC X hadir dengan papan kekunci dan tetikus Bluetooth.

Buat masa ini, komputer ASUS VivoPC X ini hanya dijual di Amazon untuk harga $799 (RM3514).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd