Cari @ Amanz

Antara perkara paling menakutkan bagi pemilik peranti ialah alatan elektronik yang dibeli pada harga mahal mengalami kerosakan. Penantian untuk mendapatkan semula peranti selepas dihantar untuk diperbaiki mungkin mengambil masa yang lama. Di Apple mereka mempunyai polisi memberi “peranti baru” kepada pelanggan dan mengambil peranti yang rosak sebagai ganti.

Tetapi peranti yang disangkakan baru ini sebenarnya adalah peranti terpakai yang telah diperbaiki. Di Belanda mahkamah telah mengarahkan Apple supaya tidak lagi memberikan peranti terpakai sebagai peranti gantian apabila berlaku kerosakan. Peranti gantian terpakai hanya boleh diberikan kepada pengguna yang membeli peranti yang telah terpakai sebelum ini. Arahan diberikan selepas seorang pelanggan mengheret Apple ke mahkamah kerana tidak berpuas hati diberikan iPad terpakai sebagai ganti iPad yang rosak selepas empat bulan digunakan. Kes sudah berlanjutan sejak 2015.

Sebelum ini mahkamah di Denmark memberikan arahan menghalang Apple menggantikan iPhone yang rosak dengan peranti terpakai. Seperti kes di atas, Apple diheret ke mahkamah oleh pelanggan yang enggan menerima peranti terpakai sebagai peranti gantian.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd