MSI Mengumumkan Siri Papan Induk Intel Kaby Lake Yang Hadir Dengan Intel Optane SSD Cache

MSI Mengumumkan Siri Papan Induk Intel Kaby Lake Yang Hadir Dengan Intel Optane SSD Cache

Diterbitkan pada Apr 26, 2017 oleh .

Kita semua sudah sedia tahu bahawa papan induk Intel siri Kaby Lake sudah sedia dengan sokongan untuk teknologi storan Intel Optane. Ianya merupakan sebuah teknologi storan baru yang dikatakan lebih pantas daripada SATA dan PCIe, dan boleh menyokong teknologi penghantaran data yang lebih pantas di masa hadapan.

Terkini, MSI mengumumkan bahawa mereka akan mula menjual papan induk Intel Kaby Lake yang hadir dengan storan Intel Optane Memory sebanyak 16GB pada model-model terpilih yang akan diberikan kemaskini model nama supaya pembeli tahu mereka akan membeli papan induk yang hadir dengan teknologi baru ini.

Bagi mereka yang baru sahaja mula mengenali tentang storan Intel Optane Memory ini, ia merupakan sebuah storan cache yang menyimpan data tentang perisian yang dipasang pada komputer anda, dan membolehkannya dibuka dan digunakan dengan lebih pantas, walaupun perisian tersebut dipasang pada storan cakera keras.

Buat masa ini, dua papan induk yang akan hadir dengan Intel Optane Memory ini termasuklah MSI Z270 Tomahawk Opt Boost dan juga MSI B250 Bazooka Opt Boost. Ini berita baik kerana MSI sedar bahawa mereka yang inginkan storan cache yang laju juga tidak semestinya mahu papan induk yang boleh di-overclock sahaja.

Harga untuk kedua-dua papan induk ini masih lagi belum diumumkan, tetapi menurut pihak MSI, harganya akan murah sedikit berbanding jika membeli papan induk dan peranti Intel Optane secara berasingan.


TIPS & ULASAN